Didakwa pandu berbahaya, Sterling berdepan hukuman penjara dua tahun
LONDON – Raheem Sterling berdepan kemungkinan hukuman penjara sehingga dua tahun selepas didakwa atas tiga kesalahan susulan kemalangan Lamborghini yang dipandunya di lebuh raya M3, Mei lalu.
Bekas pemain Manchester City, Chelsea dan Liverpool itu akan hadir di Mahkamah Majistret Basingstoke pada 15 September bagi menghadapi pertuduhan berkenaan.
Sterling, 31, didakwa memandu secara berbahaya, memiliki nitrous oxide untuk penyedutan secara salah serta gagal memberikan spesimen.
Jika disabitkan kesalahan memandu secara berbahaya, pemain yang kini berstatus ejen bebas itu boleh dihukum penjara sehingga dua tahun.
Sterling ditahan Polis Hampshire pada Mei selepas Lamborghini dipandunya melanggar penghadang lebuh raya berhampiran persimpangan Minley di M3.
Tiada kenderaan lain terbabit dalam kejadian itu dan tiada kecederaan dilaporkan.
Sterling ditahan selepas kejadian yang berlaku kira-kira jam 9 pagi sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.
Pada awalnya, bekas pemain antarabangsa England itu dilaporkan ditahan kerana memiliki dadah Kelas C, kategori yang merangkumi pelbagai jenis bahan terlarang.
Bagaimanapun, menurut laporan The Sun, Sterling kini didakwa atas kesalahan memandu secara berbahaya, memiliki nitrous oxide untuk penyedutan secara salah serta gagal memberikan spesimen.
Kelab terakhir Sterling ialah Feyenoord dari Belanda, yang diwakilinya dalam lapan perlawanan dalam tempoh singkat.
Sterling memulakan karier senior bersama Liverpool sebelum berpindah ke Manchester City dengan nilai £49 juta pada 2015 dan memenangi empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Produk akademi Queens Park Rangers (QPR) itu kembali ke London bersama Chelsea pada 2022 sebelum dipinjamkan ke Arsenal pada sebahagian musim 2024/25.
Selepas tidak lagi berada dalam perancangan Chelsea dan dilarang menggunakan kemudahan kelab ketika berada dalam buangan, kontraknya ditamatkan secara persetujuan bersama pada Januari lalu.
Selepas mengadakan rundingan dengan beberapa kelab, Sterling memilih untuk berpindah ke Eredivisie dan menandatangani kontrak jangka pendek bersama Feyenoord kendalian Robin van Persie.
Namun, selepas hanya mengumpul 421 minit permainan, tempohnya di Rotterdam tidak disambung selepas musim 2025/26 berakhir.
Sterling membuat 82 penampilan bersama England dengan 20 gol dan beraksi dalam beberapa edisi Piala Dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








