BERITA SEMASASUKAN

FA uji peraturan baharu kekang taktik penjaga gol ‘tercedera’

LONDON – Persatuan Bola Sepak England (FA) akan melaksanakan percubaan peraturan baharu bagi mengekang taktik melengah-lengahkan permainan menggunakan penjaga gol yang ‘tercedera’ bermula musim 2026-27.

Menurut badan tersebut dalam satu kenyataan semalam, percubaan itu yang sedang menunggu kelulusan daripada Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB), turut disokong Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Bola Sepak England (EFL), National League, Women’s Super League (WSL) dan Pro Ref.

Peraturan baharu itu akan diguna pakai dalam semua pertandingan bola sepak profesional lelaki dan wanita di England sepanjang musim 2026-27, lapor Reuters.

“Bola sepak England akan terus memantau pelaksanaan percubaan ini sepanjang musim bersama IFAB dan pihak berkepentingan lain bagi menilai keberkesanannya dalam memastikan kelancaran permainan tanpa menjejaskan kebajikan pemain,” kata FA dalam kenyataan tersebut.

Peraturan baharu itu menggariskan, sekiranya permainan dihentikan akibat kecederaan penjaga gol, pengurus atau ketua jurulatih perlu segera memilih seorang pemain padang untuk keluar dari padang sekurang-kurangnya selama satu minit selepas perlawanan disambung.

Langkah itu diperkenalkan bagi menangani situasi di mana kecederaan penjaga gol digunakan sebagai taktik untuk mengganggu momentum permainan, memperlahankan rentak perlawanan atau memberi ruang kepada jurulatih menyampaikan arahan taktikal.

IFAB dalam satu kenyataan berasingan berkata, percubaan itu berasaskan undang-undang permainan sedia ada yang mewajibkan pemain padang yang menerima pemeriksaan atau rawatan di atas padang, atau menyebabkan permainan dihentikan akibat kecederaan, meninggalkan padang selama satu minit sebelum dibenarkan kembali beraksi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button