BERITA SEMASASUKAN

Turkiye tamat kemarau 24 tahun, layak ke Piala Dunia

PRISTINA – Turkiye menamatkan penantian selama 24 tahun untuk kembali ke pentas Piala Dunia selepas menewaskan Kosovo 1-0 dalam aksi penentuan kelayakan, sekali gus mengesahkan kemaraan ke kejohanan terbesar bola sepak dunia itu buat kali pertama sejak 2002.

Kali terakhir Turkiye beraksi di Piala Dunia, mereka mencipta kejutan apabila mara sehingga ke separuh akhir, namun selepas itu sering gagal dalam kempen kelayakan sepanjang dua dekad lalu.

Dalam perlawanan tersebut, penyerang Kerem Akturkoglu muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-53 hasil penyudah jarak dekat selepas percubaan Orkun Kokcu susulan gerakan pantas Kenan Yildiz dari sebelah kiri.

Turkiye yang kini berada di ranking ke-25 dunia tampil dengan tekanan tinggi untuk meraih kemenangan, dengan jurulatih Vincenzo Montella mengemudi skuad yang menggabungkan pemain muda berbakat dan tonggak berpengalaman.

Kejayaan itu mencetuskan sambutan luar biasa dalam kalangan penyokong apabila ribuan rakyat Turkiye turun ke jalan raya, mengibarkan bendera dan membunyikan hon kenderaan sebagai tanda kegembiraan.

Bagi Kosovo pula, kekalahan itu menamatkan perjalanan cemerlang mereka yang hampir mencipta sejarah layak ke kejohanan utama buat kali pertama, kurang sedekad selepas menyertai FIFA dan UEFA.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri yang memenuhi stadium, Kosovo cuba bangkit pada penghujung permainan dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya, namun gagal menewaskan penjaga gol Turkiye, Ugurcan Cakir.

Turkiye bakal beraksi dalam Kumpulan D bersama Australia, Paraguay dan tuan rumah Amerika Syarikat pada Piala Dunia, yang turut dianjurkan Kanada dan Mexico.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button