Kanada tewaskan Afrika Selatan, mara ke pusingan 16 Piala Dunia
INGLEWOOD – Kanada mencipta sejarah apabila mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Afrika Selatan 1-0 dalam aksi pusingan 32 di Stadium Los Angeles, sebentar tadi.
Stephen Eustaquio menjadi wira, apabila beliau mengawal bola dengan dada pada minit kedua masa kecederaan separuh masa kedua sebelum melepaskan rembatan kaki kanan ke sudut bawah gawang untuk memberikan Kanada kelebihan 1-0 ke atas Afrika Selatan dalam perlawanan pusingan 32 Piala Dunia FIFA.
Beberapa minit kemudian, wisel penamat dibunyikan dan Kanada mencatat kemenangan pertama mereka dalam pusingan kalah mati kejohanan lelaki, lapor Sportsnet.
Eustaquio berkata, dia mengakui kepentingan jaringan tersebut namun menegaskan ia merupakan kerja berpasukan.
“Saya berasa sangat gembira kerana saya menjaringkan gol itu, kerana saya dapat membantu pasukan.
“Tetapi rembatan itu, saya rasa semua orang dalam pasukan turut merembat bola itu bersama saya. Kami sangat bagus, kami sangat percaya dalam perlawanan ini.
“Kami tahu bahawa jika kami memberikan yang terbaik, kami boleh menang dan kami melakar sejarah,” katanya selepas perlawanan.
Rakan sepasukan Eustaquio memuji naib kapten mereka itu, dengan Tani Oluwaseyi menggelarnya sebagai nadi pasukan itu.
“Dia bekerja sangat keras di atas padang, dia adalah salah seorang pemimpin kami di luar padang.
“Jadi, apabila dia yang menjaringkan gol itu, secara jujurnya, saya rasa kami semua sangat teruja. Kami semua gembira,”kata penyerang itu.
Tambah Liam Millar, pemain tengah Los Angeles FC itu beraksi dengan permainan yang luar biasa dan sememangnya layak menerima detik itu
“Sukar dipercayai, saya sangat gembira untuk Steph. Sejujurnya, dia layak mendapatkannya. Tetapi saya rasa untuk seluruh pasukan dan seluruh negara, ini adalah detik yang monumental untuk seluruh negara. Ia boleh mengubah perspektif negara kita selama-lamanya,” katanya.
Kanada kini akan berdepan pemenang perlawanan pusingan 32 antara Belanda dan Maghribi di Houston pada 4 Julai.
“Kami kini berpeluang menentang salah satu daripada dua pasukan terbaik di dunia. Itu sesuatu yang sukar dipercayai.
“Sejujurnya, ia masih terasa seperti mimpi. Kami baru sahaja memenangi perlawanan pusingan kalah mati di Piala Dunia. Kami masih mara. Dan saya sangat teruja,” kata pertahanan Alistair Johnston.
Pasukan itu meraih mata pertama mereka dalam keputusan seri 1-1 dengan Bosnia-Herzegovina, kemenangan pertama dengan membelasah Qatar 6-0, dan mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama, walaupun tewas 2-1 kepada Switzerland dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
Kanada memasuki kejohanan di kedudukan ke-30 dalam ranking FIFA manakala Afrika Selatan di kedudukan ke-60.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













