BERITA SEMASA

Fadhlina zahir dukacita pemergian murid Tahun Satu SK Dengkil

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menzahirkan rasa dukacita atas pemergian seorang murid perempuan Tahun Satu, Damiyah Nur Mikayla, yang meninggal dunia selepas dipercayai tercekik makanan ketika berada di sekolah semalam.

Allahyarhamah yang berusia tujuh tahun merupakan murid Sekolah Kebangsaan Dengkil, Sepang.

Kejadian itu menyentuh hati Fadhlina yang turut menyampaikan ucapan takziah kepada ibu bapa serta seluruh keluarga murid berkenaan.

Menerusi perkongsian di media sosial, beliau menyifatkan kehilangan anak sebagai satu dugaan amat berat yang terpaksa ditanggung oleh sesebuah keluarga.

“Saya tidak dapat membayangkan betapa beratnya kehilangan ini buat kedua-dua ibu bapa dan seluruh keluarga.

“Tiada kata yang mampu mengubat kesedihan apabila anakanda yang disayangi pergi buat selama-lamanya,” katanya, hari ini.

Sehubungan itu, Fadhlina berkata beliau telah meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memastikan kebajikan keluarga Allahyarhamah diberikan perhatian sewajarnya, selain memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan kejadian tersebut.

“Ingatan dan doa saya bersama keluarga adik Damiyah. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya serta mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada seluruh keluarga,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, JPN Selangor menerusi satu kenyataan turut merakamkan ucapan takziah dan melahirkan rasa dukacita atas pemergian murid berkenaan.

Menurut kenyataan itu, Allahyarhamah dilaporkan mengalami kesukaran bernafas dan dipercayai tercekik makanan ketika berada di sekolah.

“Guru-guru telah berusaha memberikan bantuan awal sebelum murid dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan, namun murid berkenaan kemudiannya disahkan meninggal dunia di hospital tersebut,” katanya.

JPN Selangor turut memaklumkan pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Selain itu, kebajikan keluarga Allahyarhamah serta kesejahteraan warga sekolah yang terkesan turut menjadi keutamaan, termasuk penyediaan bantuan dan sokongan psikososial mengikut keperluan.

Orang ramai turut diminta supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian itu, selain menghormati privasi keluarga Allahyarhamah.

“Semua pihak juga diminta menghormati privasi keluarga Allahyarhamah serta memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” menurut kenyataan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button