Kanak-kanak 9 tahun maut dilanggar SUV dipandu guru
REMBAU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas dipercayai dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) ketika berada di kawasan perumahan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Legong Ulu, Kota, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa yang dipercayai sedang bermain mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Azmi Ali berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut pada pukul 6.40 petang.
Menurut beliau, insiden itu melibatkan seorang pejalan kaki dan sebuah SUV jenis Perodua Aruz yang dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun.
“Siasatan awal mendapati kenderaan tersebut dipandu seorang guru dari arah Sekolah Kebangsaan Legong Ulu Kota menuju ke kawasan perumahan PPRT berkenaan.
“Setibanya di lokasi kejadian, SUV itu dipercayai terlanggar seorang kanak-kanak lelaki yang berada di atas jalan dalam kawasan perumahan tersebut,” katanya memetik laporan Sinar Harian malam tadi.
Azmi berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat.
Beliau berkata, pemandu SUV terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








