JENAYAH & MAHKAMAH

Suspek pemandu mabuk nahas maut Klang hadir ke mahkamah dengan kawalan ketat

KLANG – Suspek kes kemalangan maut membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol di Jalan Raya Barat hadir ke mahkamah di sini hari ini untuk berdepan pertuduhan.

Lelaki berusia lingkungan 20-an itu dibawa dari Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan dengan kawalan keselamatan ketat oleh anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.

Dengan tangan bergari, suspek tiba di kompleks mahkamah dan dijangka didakwa di hadapan Majistret A Karthiyayini, memetik laporan NST Online.

Dia dibawa ke mahkamah sehari sebelum tempoh reman empat hari terhadapnya berakhir.

Siasatan mendapati suspek positif alkohol dan dadah serta ditahan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh bahan terlarang.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda sehingga RM100,000 serta hilang kelayakan memandu sekurang-kurangnya 10 tahun.

Dalam kejadian pada pukul 11.40 pagi Ahad lalu, seorang penunggang motosikal berusia 30-an maut di tempat kejadian selepas dirempuh kereta suspek yang dipercayai dipandu laju dari arah Jalan Raya Barat menghala ke bandar Klang.

Pemandu terbabit dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung secara berdepan dengan motosikal mangsa.

Impak kuat itu menyebabkan mangsa tercampak ke sebuah Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mangsa dikenal pasti sebagai Amirul Hafiz Omar yang bekerja di gudang pada waktu siang dan sebagai penghantar pada waktu malam.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh, Larut, Perak.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Nor Nadia Abdul Majid, 32, serta tiga anak iaitu Muhammad Aqif Amsyar, 9; Muhammad Afif Izz Rayqal, 7; dan Nur Humaira, 2.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button