JENAYAH & MAHKAMAH

Tesla hilang kawalan rempuh tiga kenderaan di Temerloh, lima termasuk kanak-kanak cedera

TEMERLOH – Kegagalan seorang wanita mengawal kenderaan elektrik dipandunya menyebabkan lima individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun cedera dalam kemalangan di Jalan Tengku Ismail, di sini semalam.

Kejadian pada pukul 5.30 petang itu dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Tesla dipandu seorang wanita berusia 31 tahun hilang kawalan sebelum merempuh tiga kenderaan lain termasuk sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asistan Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, siasatan awal mendapati wanita terbabit dalam perjalanan dari arah bandar Temerloh menghala ke Mentakab.

“Setiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu melanggar sebuah Perodua Myvi merah.

“Akibat rempuhan itu, kereta Myvi berkenaan terdorong ke hadapan sebelum melanggar sebuah motosikal Yamaha yang diletakkan berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Tesla tersebut turut merempuh sebuah lagi Perodua Viva biru yang diparkir di kawasan sama.

Menurutnya, pemandu Perodua Myvi berusia 32 tahun disyaki mengalami patah bahu kanan akibat kemalangan berkenaan.

“Tiga lagi penumpang termasuk seorang wanita berusia 29 tahun mengalami lebam pada bahagian perut, manakala seorang wanita berusia 28 tahun serta kanak-kanak lelaki berusia empat tahun cedera ringan.

“Kesemua mangsa termasuk pemandu Tesla telah menerima rawatan di hospital,” katanya.

Mohd Nasyim berkata, penunggang motosikal dan pemandu Perodua Viva masing-masing berusia 43 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan kerana tidak berada di dalam kenderaan ketika kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button