BERITA SEMASA

Pesakit parah, ambulans dinaiki terbabit kemalangan tiga kenderaan di Besut

BESUT – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga pesakit dilaporkan mengalami kecederaan parah selepas ambulans yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Jerteh–Pasir Akar berhampiran Kampung Cherang Meliling, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika ambulans berkenaan dalam perjalanan membawa dua pesakit ke Hospital Besut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ambulans tersebut sebelum itu mengambil dua pesakit yang terlibat dalam kemalangan berasingan di Pasir Akar.

“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipercayai keluar dari bahu jalan sebelah kanan sebelum berlaku pelanggaran dengan ambulans berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan ambulans hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan kiri dan melanggar sebuah kereta yang diparkir, sehingga kenderaan terbabit terjatuh ke dalam longkang.

Akibat insiden itu, seorang pesakit lelaki berusia 16 tahun mengalami kecederaan parah, manakala seorang lagi pesakit hanya cedera ringan.

Kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Besut bagi mendapatkan rawatan lanjut, manakala individu lain yang terlibat dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button