Pejalan kaki maut dirempuh kereta di NKVE
SHAH ALAM – Seorang pejalan kaki yang masih belum dikenal pasti identitinya maut selepas dirempuh sebuah kereta di Kilometer 9.4 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.15 malam membabitkan sebuah kereta dipandu lelaki tempatan dengan seorang pejalan kaki lelaki berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai tiba-tiba melintas jalan dan berada di tengah lorong kedua dari kanan selepas susur Lebuhraya Utara–Selatan Hubungan Tengah (ELITE) arah Klang ke Damansara sebelum dirempuh kenderaan yang sedang bergerak lurus di laluan berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, usaha mengesan identiti mangsa masih giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan.
Dalam pada itu, polis meminta saksi kejadian atau orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-775 7354.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video papan pemuka berdurasi kira-kira 20 saat yang memaparkan detik seorang lelaki dirempuh kenderaan di atas lebuh raya berkenaan, dipercayai merujuk kepada kejadian sama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








