JENAYAH & MAHKAMAH

Suami isteri warga emas dikhuatiri lemas kereta terjunam ke sungai

ROMPIN – Sepasang suami isteri warga emas dikhuatiri lemas selepas kereta dinaiki mereka dilaporkan terjunam lalu tenggelam di Sungai Rompin, berhampiran Kampung Rantau Panjang, Kuala Rompin, hari ini.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pukul 4.55 petang tadi.

Susulan menerima laporan, 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rompin digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, peringkat awal operasi mencari dan menyelamat dilakukan menggunakan teknik pencarian di permukaan air.

“Kedalaman sungai di lokasi kejadian dianggarkan lebih tiga meter dan parasnya dilaporkan sedang meningkat akibat air pasang,” katanya, hari ini.

Zulfadli berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pekan turut dikerahkan ke lokasi bagi membantu operasi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif, berkata operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan.

Menurutnya, pasukan yang terlibat berdepan dengan cabaran arus sungai yang deras.

Ujarnya lagi, identiti kedua-dua mangsa yang hilang itu juga masih belum dikenal pasti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button