[VIDEO] ‘Setiap kali kami rasa ayah sudah hampir balik, ada saja halangan’ – Nooryana Najib
KUALA LUMPUR – Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa meluahkan rasa kecewa selepas pelaksanaan tahanan di rumah bapanya ditangguhkan buat sementara waktu seperti dimaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Beliau berkata, keluarganya sudah berusaha memenuhi segala syarat yang ditetapkan termasuk menjelaskan denda RM50 juta bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman di rumah.
Nooryana Najwa menerusi video yang dimuat naik di Instagramnya malam tadi berkata, keluarga mereka pada awalnya dimaklumkan pihak penjara akan membawa bapanya pulang selepas menerima perintah mahkamah berkenaan.
Menurutnya, waktu kepulangan Najib pada mulanya dimaklumkan pada pukul 5 petang sebelum ditukar kepada 8.30 malam, menyebabkan mereka sekeluarga menunggu dengan penuh harapan.
“Jadi kami tunggu, tapi sekitar 2 petang tadi (semalam), kami dapat makluman pihak KDN (Kementerian Dalam Negeri) cuba tangguh pembebasan Datuk Seri Najib.
“Walaupun begitu, kami masih yakin sebab dari segi prosedur dan perintah mahkamah yang sudah dikeluarkan, sepatutnya mencukupi.
“Tapi akhirnya AGC mengeluarkan kenyataan untuk tangguhkan proses tersebut,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menyerahkan urusan berkaitan aspek perundangan kepada peguam, namun sebagai anak, beliau amat kecewa dengan perkembangan itu selepas keluarga berusaha mematuhi ketetapan yang difahami mereka.
“Saya tak nak ulas panjang soal undang-undang, saya serahkan kepada peguam kami.
“Sebagai anak, saya memang amat kecewa, kami dah ikut apa yang ditetapkan dalam perintah pengampunan bersyarat Tuanku, kami kumpul dana, bayar RM50 juta denda, ikut proses yang ditetapkan,” katanya.
Nooryana Najwa turut mempersoalkan sama ada terdapat syarat tambahan yang tidak dimaklumkan kepada keluarganya lebih awal, selain mempersoalkan penerimaan bayaran denda berkenaan pada hari sama pelaksanaan tahanan di rumah ditangguhkan.
“Kalau ada syarat lain, kenapa tak dimaklumkan dari awal dan kalau masih ada halangan, kenapa terima bayaran RM50 juta hari ni. Apa yang berlaku ni mengingatkan kami tentang pengalaman berhubung perintah adendum sebelum ini.
“Setiap kali kami rasa ayah sudah hampir nak balik, ada je halangan baharu. Sampai bila? Kami cuma memohon keadilan, ketelusan, perintah Tuanku dihormati dan kedaulatan undang-undang ditegakkan,” katanya.
Beliau berkata, keluarganya sudah membuat persiapan untuk menyambut kepulangan Najib pada hari berkenaan selepas sejak pagi berhubung dengan pelbagai pihak bagi memastikan segala urusan berjalan lancar.
“Tapi nampaknya malam ni (malam tadi) bukan rezeki kami lagi. Sejak pagi tadi (semalam) Yana sekeluarga tak putus-putus berhubung dengan pelbagai pihak nak pastikan semua berjalan lancar, supaya ayah dapat pulang ke rumah hari ni (semalam),” katanya.
Dalam pada itu, Nooryana Najwa menitipkan pesanan kepada bapanya supaya terus kuat, sambil menegaskan keluarga mereka akan meneruskan usaha bagi membolehkan Najib pulang ke rumah.
“Kepada daddy, saya tahu anda tidak melihat (video) ini, tapi saya harap daddy tahu kami sedang buat segalanya yang termampu untuk bawa daddy balik. Kami tahu anda merindui keluarga ini, kami pun semua terlalu rindu.
“Daddy tolong kuat, kami masih berusaha lagi,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyokong Najib yang terus memberikan sokongan dan menggesa mereka supaya terus menyuarakan tuntutan keadilan, sambil menegaskan usaha itu bukan bertujuan menyebarkan kebencian.
“Kami bukan nak sebar kebencian, tapi nak pastikan kebenaran dan undang-undang ditegakkan. Semoga Allah memberkati usaha kami,” katanya.
Nooryana Najwa turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang kepada Tabung Solidariti Najib Razak serta mereka yang terus berdiri bersama keluarganya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














