JENAYAH & MAHKAMAH

Rayuan dibenar, Najib dan Nazifuddin tangguh prosiding kebankrapan

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin berjaya mendapatkan penangguhan prosiding kebankrapan mereka di Mahkamah Rayuan, di sini hari ini.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Dr Alwi Abdul Wahab bersama Datuk Dr Shahnaz Sulaiman dan Datuk Ong Chee Kwan.

Najib dan Mohd Nazifuddin merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 November 2025 yang menolak permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding kebankrapan sementara menunggu keputusan rayuan di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT).

Rayuan berkenaan mencabar taksiran cukai tambahan yang dikenakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) terhadap kedua-duanya.

HASiL sebelum ini menuntut tunggakan cukai berjumlah RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Kedua-duanya sebelum ini mencabar penghakiman terus yang diperoleh HASiL, namun rayuan mereka di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan ditolak.

Susulan itu, notis kebankrapan dikeluarkan terhadap mereka.

Dalam hujahnya, peguam mereka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, terdapat keadaan khas yang mewajarkan penangguhan kerana rayuan di SCIT masih belum diputuskan.

Beliau berkata pendengaran kes Najib dijadualkan pada September, manakala kes Mohd Nazifuddin pada Oktober dan keputusan SCIT akan menentukan liabiliti asas mereka terhadap taksiran cukai berkenaan.

Bagaimanapun, Peguam Kanan HASiL, Norhisham Ahmad berhujah bahawa berdasarkan Akta Cukai Pendapatan 1967, hutang cukai perlu dijelaskan walaupun rayuan masih berjalan dan tiada keadaan khas untuk menangguhkan prosiding kebankrapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button