Reaksi berlebihan kes Najib boleh lemahkan Kerajaan MADANI – Ong Kian Ming
KUALA LUMPUR – Tindakan sesetengah pihak yang ‘meraikan’ keputusan mahkamah berkaitan penolakan Titah Adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja boleh melemahkan keupayaan Kerajaan MADANI untuk berfungsi dengan berkesan, malah berpotensi menjejaskan persefahaman politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pendirian itu disuarakan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming yang memberi amaran bahawa kenyataan dan reaksi bersifat provokatif terhadap keputusan mahkamah tersebut boleh mengeruhkan lagi suasana politik negara yang sedia terbahagi mengikut garis kaum dan agama.
“Tidak mustahil tindakan sebegini mendorong BN untuk mencari kerjasama lebih rapat dengan Perikatan Nasional (PN) yang akhirnya merugikan PH dan penyokongnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, tindakan meraikan keputusan berkenaan secara terbuka khususnya di media sosial, hanya menambah ‘minyak ke api’ dalam landskap politik yang sudah rapuh.
Selain itu, ia turut berisiko mengasingkan sebahagian besar masyarakat Melayu yang walaupun tidak menyokong skandal 1MDB, namun tidak mahu melihat seorang bekas Perdana Menteri dihina secara terbuka.
“Negara kita sudah cukup terbahagi akibat politik perkauman dan keagamaan. Tidak perlu menambah ketegangan dengan kenyataan yang kelihatan tidak peka terhadap sentimen masyarakat,” katanya.
Mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beliau berkata, ia selari dengan Perlembagaan Persekutuan kerana perintah tersebut tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42.

Namun, beliau menegaskan bahawa tiada keperluan untuk meraikan atau memperlekehkan keputusan tersebut memandangkan Najib telah pun menjalani lebih tiga tahun hukuman penjara sejak Ogos 2022 dan faktor kesihatan bekas Perdana Menteri itu juga sering dibangkitkan oleh keluarganya.
“Bukan sesuatu yang mudah bagi sesiapa yang berusia 72 tahun untuk menjalani hukuman penjara, apatah lagi jika beliau seorang bekas Perdana Menteri dan anggota aristokrasi Malaysia.
“Saya akan berasa berat dan sedih sekiranya saya adalah mana-mana anak atau cucu Najib, memikirkan bagaimana ayah dan datuk mereka duduk bersendirian di Penjara Kajang ketika kebanyakan orang lain menikmati cuti hujung tahun dan menyambut musim perayaan bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau turut mencadangkan agar satu perbincangan serius dimulakan pada masa hadapan mengenai kemungkinan pengampunan penuh terhadap Najib sebagai sebahagian daripada usaha mencapai kematangan politik dan perdamaian nasional.
Beliau berkata, cadangan itu selari dengan idea ‘reset politik’ yang pernah dibangkitkan sebelum ini, termasuk menghentikan amalan menggunakan institusi negara untuk menekan lawan politik setiap kali berlaku pertukaran kuasa.
“Dalam semangat perdamaian, semoga kita mampu memaafkan, walaupun tidak semestinya melupakan, demi masa depan Malaysia yang lebih baik untuk kita dan generasi akan datang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








