AGC tidak pertikai kewujudan Titah Adendum
Hanya pertikai prosedur kemukakan titah itu sebagai bukti baharu
PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu, Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum yang membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Sebaliknya, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berhujah, AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi.
“Walau apa pun, prosedur untuk mengemukakan bukti baharu hendaklah dipatuhi.
“Responden mesti mematuhi peraturan untuk mengemukakan bukti baharu. Kami mengekalkan pendirian kami. Kami bergantung pada hujahan kami dan menyerahkannya kepada mahkamah,” katanya.
Bukti baharu yang dimaksudkan itu adalah membabitkan afidavit anak Najib, Datuk Mohamad Nizar yang memasukkan sesalinan Titah Adendum yang diterimanya dari Pejabat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, namun dilarang daripada menggunakan surat itu tanpa perkenan Sultan Pahang.
Shamsul berkata demikian ketika menjawab soalan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan, terdiri daripada Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Prosiding yang berlangsung hari ini adalah berkenaan rayuan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung Titah Adendum di Mahkamah Tinggi dan mengemukakan bukti baharu.
Sementara itu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah, AGC tidak boleh menyatakan titah berkenaan adalah spekulatif ketika di peringkat kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman jika ia betul-betul menghayati prinsip tanggungjawab untuk bersikap jujur, terbuka dan telus,
“Kami ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, ia sesungguhnya tragedi terhadap kami kerana tanggungjawab untuk bersikap jujur, terbuka dan telus, bukan di pihak kami kerana kami sentiasa berterus terang selama ini,” katanya.
Beliau menegaskan, tanggungjawab untuk bersikap jujur dalam semakan kehakiman terbabit tidak mewajibkan anak guamnya untuk mendapatkan salinan Titah Adendum.
Katanya, tanggung jawab untuk mengesahkan atau menafikan kewujudan Titah Adendum itu pada peringkat permohonan mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman jatuh kepada Peguam Negara, jika mereka membantah kewujudannya.
“Persoalan sama ada Titah Adendum tidak diperoleh dengan usaha wajar yang munasabah ketika prosiding di Mahkamah Tinggi adalah tidak relevan, kerana pembuat afidavit bagi pihak responden jelas mengesahkan bahawa mereka tidak mempunyai keupayaan untuk mendapatkan salinan titah terbabit disebabkan kerahsiaannya pada masa itu.
“Responden juga berhujah bahawa beliau telah berusaha secara munasabah dan dengan ketekunan yang wajar untuk mendapatkan pengesahan mengenai kewujudan dokumen berkenaan,”katanya.
“Dokumen berkenaan hanya diperoleh selepas keputusan dibuat oleh anak pemohon, Datuk Mohamad Nizar, dan dokumen itu tertakluk kepada satu syarat bahawa ia tidak boleh digunakan tanpa keizinan Istana,” katanya.
Peguam itu berkata, sekatan itu amat penting kerana walaupun Titah Adendum itu sudah berada di tangan, Najib tidak bebas secara undang-undang atau etika untuk menggunakannya sehingga kebenaran diberikan.
Beliau berkata, selepas kebenaran diberikan pada 2 Disember 2024 daripada Istana, Najib segera memfailkan untuk memasukkan bukti baharu itu di mahkamah, dan tindakan pantas menunjukkan bahawa tiada kelewatan yang tidak wajar selepas dokumen itu boleh digunakan.
Katanya, boleh dikatakan bahawa Najib telah melaksanakan tanggungjawab melebihi kewajipan undang-undangnya dalam membantu mahkamah.
Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, panel memutuskan akan menetapkan tarikh lain bagi memberikan keputusan.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















