Najib Razak tidak pernah minta penyokong sokong PN – tegas anak
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah menyuruh supaya penyokong-penyokongnya untuk menyokong Perikatan Nasional (PN), tegas Datuk Mohd Nizar Najib.
Anak sulung Najib itu juga menegaskan bekas Perdana Menteri itu seorang yang setia pada parti dan tidak sesekali mengkhianatinya.
“Tidak, ayahanda Najib tidak pernah mengarahkan atau menyuruh kami sebagai penyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyokong PN. Itu tidak akan berlaku sama sekali. Ayahanda Najib memang seorang ‘party man’ dan memang setia dengan BN walau hujan, ribut, gempa bumi, halilintar, serangan nuklear beliau memang setia dengan BN
“Kami pun merayu dengan parti agar untuk sedaya upaya membela Datuk Seri Najib. Saya mohon penyokong bersabar dan beristiaqamah, mungkin ada usaha yang dibuat tapi tak boleh diketahui umum, ‘atuk’ kesayangan kita telah menghukum dengan lima kes, 42 pertuduhan bukan senang nak leraikan, kesian pada ayahanda lima tahun naik mahkamah, beliau tetap bersabar.
“Bagilah parti sedikit masa lagi tapi tidak memakan terlalu masa lama, kita tidak boleh berbuat apa-apa dengan kemarahan rakyat,” katanya ketika berucap dalam program Demi Najib, We Stand by You di Kelab Sultan Sulaiman di sini malam tadi.

Program itu dihoskan oleh Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi.
Selain Mohd Nizar turut berucap dua lagi anak Najib iaitu Datuk Mohd Nazifuddin dan Nooryana Najwa.
Dalam pada itu, turut melahirkan rasa kesal dengan sistem mahkamah yang didakwa tidak dijalankan dengan betul dalam memberikan pembelaan kepada bapanya.
Berucap lanjut, Mohd Nizar yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan berpandangan, sistem kehakiman negara perlu dirombak dan diperbaiki bagi mengelakkan individu lain menerima nasib sama seperti bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
“Saya menyeru dan merayu kepada Kerajaan Perpaduan agar perbetulkan sistem kehakiman kita. Kita tidak mahu mangsa-mangsa lain akan didakwa (walaupun) mereka tidak bersalah.
“Ya, tak kisahlah mantan Perdana Menteri ataupun rakyat Malaysia yang lain. Kalau kita tidak betulkan sekarang, ada yang akan jadi mangsa di masa hadapan,” tambah beliau. Kerajaan Perpaduan perlu lakukan perkara yang betul.

Sementara itu, Mohd Nazifuddin berkata, beliau tidak boleh “move on” selagi bapanya tidak mendapat keadilan yang sepatutnya.
Ketua UMNO Bahagian Langkawi itu juga mahu Kerajaan Perpaduan melakukan pembetulan moral agar rakyat di negara ini termasuk Najib mendapat hak asasi manusia dalam menegakkan keadilan.
“Kalau Malaysia sanggup letak mantan Perdana Menteri dalam penjara, siapa akan percaya kepada Malaysia? Ini bukan projek-projek dulu, yang dibatalkan lagi.
“Tapi kalau kita lihat seluruh rakyat Malaysia, rakan-rakan Datuk Seri Najib, yang tandatangan petisyen… daripada pemuda, mahasiswa, semua tak boleh ‘move on’. Sebab apa? Tak ada keadilan untuk Datuk Seri Najib.
“Kalau kita ada peluang ini, kita nak cakap kepada Kerajaan Perpaduan, lakukan perkara yang betul. Do the morally correcting (lakukan pembetulan moral),” katanya.
Dalam pada itu, Nooryana atau lebih dikenali sebagai Yana berkata, sudah 14 bulan Najib menjalani hukuman penjara tetapi sehingga kini belum ada sebarang hasil dalam memberikan keadilan buat bapa beliau.
“Ada yang kata, Yana sabar, Nazif sabar. Kita sabar. Tapi jangan terlalu lama. Sudah 14 bulan beliau (Najib) dipenjarakan. Kami mahukan hasil, betul tak?,” soal Yana.
Selain itu, Yana juga meluahkan kekecewaan yang sama apabila mendakwa Najib dinafikan hak dalam mendapatkan pembelaan.
“Kalau kita minta penstriman langsung perbicaraan, ditolak… Peguam Diraja (dari United Kingdom) ditolak… kemukakan bukti baharu ditolak… dan pada rayuan akhir SRC (International Sdn Bhd), minta masa 10 minit nak tukar baju, itu pun ditolak. (Ia) seolah-olah tak sabar nak sumbat ayahanda ke penjara.
“Kejam… tuan, puan kejam. Sekarang di penjara mereka masih nak tekan lagi Datuk Seri Najib yang sedang hadapi tiga kes jenayah dan empat kes sivil.
“Kes LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) yang tidak munasabah masih dijalankan dan baru-baru ini kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pendakwaraya mohon untuk pinda pertuduhan. Sudah empat tahun perbicaraan bermula dan ramai saksi dipanggil, tiba-tiba mahu pinda pertuduhan. Adakah ini adil?,” katanya lagi.
Najib dikenakan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC International.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








