JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah benar Najib akses lima dokumen berkaitan saman AS$8 bilion 1MDB

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak mengakses lima dokumen berkaitan saman sivil berjumlah AS$8 bilion (RM32.2 bilion) yang difailkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikatnya terhadap beliau serta tujuh individu lain.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamad Redzuan Idrus membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan penemuan dokumen dan pemeriksaan yang dikemukakan bekas perdana menteri tersebut menjelang perbicaraan yang dijadual bermula pada Ogos depan.

Saman berkenaan merupakan satu daripada 22 tindakan sivil yang difailkan bagi mendapatkan semula lebih AS$23 bilion (RM92.6 bilion) yang didakwa berkaitan skandal kewangan 1MDB.

Dalam tindakan itu, 1MDB bersama empat anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited bertindak sebagai plaintif, manakala Najib dinamakan sebagai defendan pertama.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Geh Choh Heng, Jasmine Loo Ai Wan, Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Radhi Mohamad, Kelvin Tan Kay Jin dan Nik Faisal Ariff Kamil.

Antara dokumen yang diperintahkan untuk diserahkan kepada Najib ialah senarai lengkap wang, aset atau harta yang telah dipulihkan, dipulangkan, dibawa pulang ke Malaysia atau direalisasikan, termasuk butiran prosiding undang-undang yang telah dimulakan, diselesaikan, dihentikan atau dirancang terhadap pihak ketiga.

Mahkamah turut memerintahkan penyerahan dokumen berkaitan proses pemulihan aset dan wang serta dokumen yang memperincikan syarat penyelesaian yang dicapai dengan mana-mana pihak berkaitan.

Mohamad Redzuan mengarahkan plaintif memfailkan dan menyerahkan afidavit dalam tempoh 21 hari bagi menyatakan sama ada dokumen yang dimohon berada atau pernah berada dalam milikan, jagaan atau kuasa mereka, selain mengemukakannya untuk pemeriksaan dan salinan.

Menurut beliau, dokumen yang dipohon adalah relevan dan perlu bagi memastikan prosiding berjalan secara adil.

“Sebagai pihak dalam saman ini, defendan berhak mengetahui dokumen dan butiran berkaitan jumlah yang berjaya dipulihkan serta keadaan bagaimana wang dan dokumen tersebut diperoleh,” katanya memetik laporan BH Online.

Pada masa sama, mahkamah turut membenarkan permohonan 1MDB supaya semua dokumen yang dibekalkan tertakluk kepada perintah perlindungan.

Di bawah perintah itu, dokumen berkenaan hanya boleh diakses oleh hakim atau pesuruhjaya kehakiman yang mendengar kes, kakitangan mahkamah, pihak-pihak yang terlibat dalam saman serta peguam masing-masing.

Mahkamah turut mengarahkan dokumen tersebut disimpan secara sulit dan hanya digunakan bagi tujuan prosiding berkenaan, selain mengecualikan plaintif daripada memfailkan versi tidak ditapis melalui sistem e-filing yang boleh diakses orang awam.

Najib hadir pada prosiding hari ini dan diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala 1MDB diwakili peguam Lee Shih dan Raphael Kok.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button