Rayuan AGC hanya sentuh kewujudan & prosedur Titah Adendum – Peguam
PUTRAJAYA – Rayuan yang dikemukakan Jabatan Peguam Negara (AGC) ke Mahkamah Persekutuan dalam kes berkaitan Titah Adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya melibatkan isu berkaitan kewujudan dan pengemukaan dokumen tersebut, bukan merit atau pelaksanaannya.

Peguam Kanan, Mohd Zainuddin Omar berkata, rayuan AGC itu dibuat bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memutuskan bahawa Titah Adendum wujud dan seterusnya mengembalikan semula kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi untuk disemak secara kehakiman.
“Rayuan ini tertumpu kepada dua perkara utama iaitu sama ada Titah Adendum itu benar-benar wujud dan pengemukaannya di Mahkamah Rayuan adalah sah dari sudut teknikal kerana dokumen tersebut tidak dikemukakan ketika peringkat Mahkamah Tinggi,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Tambah beliau, perbicaraan di Mahkamah Persekutuan ketika ini belum menyentuh soal merit atau pelaksanaan kandungan Titah Adendum tersebut yang hanya akan dibicarakan sekiranya Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.
“Perkara seperti hak tahanan di rumah atau pelaksanaan titah hanya akan dinilai semula di Mahkamah Tinggi nanti jika keputusan Mahkamah Rayuan dikekalkan,” jelasnya lagi.
Dalam prosiding baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan turut meminta AGC menyatakan pendirian rasmi mengenai kewujudan dokumen titah berkenaan.
“Pihak AGC mengakui bahawa Titah Adendum memang wujud, namun mempertikaikan cara dan peringkat ia dikemukakan kepada Mahkamah Rayuan,” kata Mohd Zainuddin.
Kes tersebut menarik perhatian umum kerana ia melibatkan persoalan perundangan penting berkaitan kedudukan dokumen daripada institusi diraja serta proses teknikal dalam sistem kehakiman negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








