Jabatan Penjara tunggu pemakluman rasmi sebelum laksana tahanan rumah Najib
KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara masih menunggu pemakluman rasmi secara bertulis berhubung keputusan Lembaga Pengampunan sebelum sebarang tindakan lanjut bagi melaksanakan pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Penjara berkata, keputusan berkenaan membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk kepada syarat yang ditetapkan termasuk pembayaran denda RM50 juta.
“Sehubungan itu, selaras dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara masih menunggu pemakluman rasmi secara bertulis berhubung keputusan tersebut sebelum sebarang tindakan lanjut bagi melaksanakan keputusan berkenaan dapat ditentukan,” menurut kenyataan itu.
Jabatan Penjara menjelaskan, sebarang pemakluman dan dokumen rasmi berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan akan disampaikan melalui saluran rasmi yang sewajarnya sebelum dikemukakan kepada jabatan itu untuk tindakan selanjutnya.
Menurut kenyataan sama, Jabatan Penjara sentiasa bersedia melaksanakan sebarang arahan rasmi yang diterima daripada pihak berkuasa berkaitan selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan penjara serta tatacara dan prosedur yang sedang berkuat kuasa.
“Jabatan ini akan melaksanakan sebarang keputusan dan arahan yang diterima secara teratur, profesional dan berintegriti, selaras dengan peruntukan undang-undang serta ketetapan pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya.
Jabatan Penjara turut menyeru semua pihak supaya merujuk kepada sumber rasmi dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung pelaksanaan keputusan berkenaan.
Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat-syarat ditetapkan.
Menteri Dalam Negeri sebelum ini berkata kementerian dan Jabatan Penjara perlu meneliti surat pemakluman rasmi bagi menentukan butiran pelaksanaan keputusan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








