Azalina bidas PH, tegaskan tiada siapa mengatasi Perlembagaan
KUALA LUMPUR – UMNO menegaskan bahawa prinsip kedaulatan undang-undang tidak pernah dipertikaikan di negara ini dan menekankan bahawa tiada mana-mana individu, kerajaan mahupun institusi yang berada di atas undang-undang.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Perlembagaan Persekutuan kekal sebagai undang-undang tertinggi negara dan semua pihak terikat serta tertakluk kepada peruntukannya.
Mengulas isu kuasa pengampunan, Azalina menjelaskan bahawa pelaksanaan kuasa berkenaan bukanlah tindakan di luar undang-undang atau langkah “mengatasi undang-undang”.
”Kuasa pengampunan merupakan kuasa yang diperuntukkan secara nyata oleh Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, Perkara 42 memperuntukkan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong serta menetapkan kerangka Lembaga Pengampunan,” katanya dalam kenyataan media.
Tambah beliau, fungsi penghakiman oleh mahkamah dan proses pengampunan adalah dua perkara berbeza.
Katanya, mahkamah bertanggungjawab menentukan kesalahan dan hukuman, manakala Perkara 42 menyediakan mekanisme perlembagaan berkaitan pengampunan, tunda hukuman atau lega hukuman.
”Kewujudan kuasa pengampunan dalam Perlembagaan tidak bermakna keputusan mahkamah diketepikan atau seseorang individu berada di atas undang-undang,” jelasnya.
Azalina turut menekankan bahawa setiap institusi mesti bertindak mengikut ruang kuasa yang diperuntukkan.
“Peranan Lembaga Pengampunan, Peguam Negara, serta Menteri berkaitan hendaklah dinilai berdasarkan peruntukan undang-undang dan bukannya mengikut tafsiran atau persepsi politik,” katanya.
”Pendirian saya selaku Ketua Penerangan UMNO Malaysia adalah jelas dengan hormati keputusan mahkamah, hormati Perlembagaan dan hormati proses yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
”Sebarang persoalan mengenai kesahan, kesan undang-undang atau proses sesuatu tindakan hendaklah dinilai berdasarkan teks Perlembagaan, fakta dan proses sebenar, bukan sekadar kenyataan politik,” katanya.
Beliau menegaskan sekali lagi bahawa tiada siapa mengatasi undang-undang dan tiada siapa yang berada di atas Perlembagaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








