BN-PN bergabung, Leng Chau Yen tetap yakin pertahan DUN Bandar Hilir
BANDAR HILIR – Gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini dilihat sebagai cabaran kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir, Leng Chau Yen, dalam usaha mempertahankan kerusi berkenaan.
Bagaimanapun, Leng berkata, tempoh perkhidmatannya di kawasan itu menjadi antara kelebihan kerana beliau sudah mengenali penduduk serta memahami isu yang dihadapi masyarakat setempat.
Beliau berkata, kempen setakat ini berjalan dengan agak positif, selain isu infrastruktur yang memerlukan perhatian dan penambahbaikan dikenal pasti sebagai antara keutamaan penduduk.
“Setakat ini kempen berjalan dengan baik dan saya optimis kita akan peroleh kemenangan sebab kalau nak pergi berperang kena ada keyakinan jadi saya yakin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas berkempen, di sini hari ini.
Sebagai rekod, Leng Chau Yen memenangi kerusi DUN Bandar Hilir pada PRN-15 dengan majoriti 7,778 undi, menewaskan Lee Kah Sean (BN-MCA) yang memperoleh 1,313 undi dan Clarice Chan Ming Wang (PN-GERAKAN) dengan 634 undi daripada keseluruhan 19,909 pengundi berdaftar.
Mengulas persaingan susulan gabungan BN dan PN, beliau mengakui situasi itu perlu dihadapi dalam usaha mempertahankan kerusi berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menyatakan keyakinan untuk terus mempertahankan kerusi DUN Bandar Hilir pada PRN kali ini.
Menurutnya, pengalaman berkhidmat di kawasan itu membolehkannya memahami keperluan penduduk, khususnya berkaitan pembangunan infrastruktur yang perlu dinaik taraf.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














