POLITIK

Pelantikan Julita Mojungki beri pengiktirafan kepada kepimpinan wanita Sabah

KOTA KINABALU – Ketua Wanita DAP Sabah merangkap Setiausaha Wanita Pakatan Harapan Sabah, Bronica Sikula, mengucapkan tahniah kepada Datuk Julita Mojungki atas pelantikan beliau sebagai Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, yang dilihat sebagai satu pengiktirafan penting terhadap kepimpinan wanita di negeri ini.

Bronica berkata, pelantikan tersebut selaras dengan aspirasi Iltizam Wanita Harapan Sabah 2025, yang menekankan peranan wanita sebagai tonggak kesejahteraan keluarga, pembangunan komuniti dan kemajuan negeri secara menyeluruh.

Beliau berkata, pengukuhan kepimpinan wanita perlu diteruskan bukan sahaja di peringkat menteri tetapi juga dalam barisan pembantu menteri.

Menurutnya, daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), hanya 5 kerusi atau 6.85 peratus dimenangi wanita, justeru jawatan ADUN dilantik seharusnya diutamakan untuk wanita bagi mengurangkan jurang gender.

“Harapan kami agar pelantikan pembantu menteri dan ADUN dilantik turut diberikan kepada tokoh wanita yang berwibawa, berintegriti dan berjiwa rakyat.

“Ini akan memberi pengiktirafan sewajarnya kepada peranan wanita dalam pentadbiran negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bronica turut berkata, langkah ini akan memastikan dasar inklusif berterusan serta memperkukuh suara wanita dalam proses membuat keputusan yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat Sabah.

Beliau menyeru semua pihak, dari akar umbi hingga institusi negeri, terus mendukung kepimpinan wanita yang berani dan berprinsip.

Dengan semangat Wanita Harapan Sabah 2025, Bronica yakin kepimpinan wanita akan menjadi pemacu kepada Sabah yang lebih sejahtera, adil dan penuh harapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button