PH masih berpeluang pertahan Negeri Sembilan, peratus keluar mengundi penentu utama
KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) masih berpeluang untuk mempertahankan pentadbirannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini, meskipun berdepan cabaran lebih sengit susulan penjajaran baharu membabitkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Ayuni Mohd Isa berkata, persaingan kali ini jauh berbeza berbanding PRN 2023 apabila PH dan BN berganding sebagai satu pasukan sehingga berjaya menguasai 31 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, kali ini PH bertanding secara bersendirian di semua 36 kerusi manakala BN dan PN membentuk penjajaran baharu yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu di kebanyakan kawasan.
“Persoalan utama kini bukan lagi sama ada PH mampu mengekalkan dominasi 2023, tetapi sejauh mana ia mampu menahan gelombang penjajaran baharu yang sedang terbentuk,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Bagaimanapun, menurut Dr Ayuni, PH masih memiliki benteng kukuh di sekurang-kurangnya 10 kerusi termasuk Nilai, Repah, Rahang, Bahau, Bukit Kepayang, Seremban Jaya, Chuah, Lukut, Mambau dan Lobak yang dimenangi dengan majoriti besar pada pilihan raya lalu.
Katanya, kerusi berkenaan hanya berisiko sekiranya berlaku kemerosotan ketara dalam kadar keluar mengundi penyokong PH.
Beliau berkata, faktor paling penting dalam menentukan keputusan PRN kali ini ialah keupayaan setiap gabungan menggerakkan penyokong masing-masing keluar mengundi.
“BN tidak semestinya perlu meraih sebahagian besar penyokong tegar PH. Memadai sekiranya jentera BN–PN berjaya mengeluarkan pengundi mereka sendiri dalam jumlah besar, sementara sebahagian penyokong PH memilih untuk tidak mengundi,” katanya.

Dr Ayuni berkata, keputusan PRN Johor baru-baru ini menunjukkan kadar keluar mengundi memberi impak besar apabila kawasan kubu BN merekodkan penyertaan lebih tinggi berbanding kawasan bandar yang menjadi kekuatan PH.
Menurut beliau, keadaan sama berpotensi berlaku di Negeri Sembilan sekiranya penyokong PH tidak keluar mengundi dalam jumlah yang tinggi.
Beliau turut menjelaskan beberapa kerusi seperti Chennah, Temiang dan Sri Tanjung masih memihak kepada PH, namun memerlukan usaha berterusan sepanjang tempoh kempen bagi memastikan sokongan kekal utuh.
Pada masa sama, katanya, kehadiran calon BERSATU di beberapa kawasan boleh memberi kelebihan kepada PH kerana berpotensi memecahkan undi Melayu yang menentang gabungan itu.
Dr Ayuni berkata, walaupun BN-PN dilihat mempunyai kelebihan dalam beberapa kerusi majoriti Melayu, PH masih mempunyai asas sokongan yang kukuh terutama di kawasan bandar dan separa bandar.
“Keputusan akhir PRN Negeri Sembilan akan banyak bergantung kepada tahap mobilisasi pengundi, khususnya penyokong PH yang perlu keluar mengundi bagi mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















