POLITIK

Dr Hakim seru rakyat Rantau keluar mengundi hingga saat akhir

REMBAU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi menggesa rakyat di kawasan itu yang masih belum menunaikan tanggungjawab supaya segera keluar mengundi sebelum pusat pengundian ditutup, bagi memastikan suara mereka menjadi penentu masa depan Rantau.

“Saya berharap semua pengundi terus keluar mengundi sehingga saat akhir. Gunakan hak kita dengan penuh tanggungjawab.

“Undilah bukan kerana emosi semata-mata, tetapi fikirkan masa depan anak-anak kita, peluang pekerjaan, kos sara hidup dan kesejahteraan keluarga di Rantau,” katanya kepada Malaysia Tribune.

dun rantau
Dr Hakim menyantuni pengundi di sebuah pusat daerah mengundi di Rantau hari ini.

Tambahnya, beliau turut menghormati pilihan pengundi.

“Apa pun pilihan anda, saya hormati. Namun saya percaya, jika kita mahukan perubahan yang lebih baik, lebih dekat dengan rakyat dan lebih mendengar suara rakyat, hari ini adalah peluangnya.

“Ayuh kita keluar mengundi. Tentukan masa depan Rantau dengan tangan kita sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) di DUN Rantau setakat ini berjalan lancar, teratur dan dalam suasana yang baik, selain menyifatkan sambutan pengundi daripada pelbagai lapisan masyarakat amat memberangsangkan.

Menurutnya, hasil tinjauan di beberapa pusat mengundi mendapati warga emas, golongan muda dan keluarga muda hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi meskipun berdepan cuaca panas dan kesibukan harian.

“Alhamdulillah, setakat yang saya lihat, perjalanan proses pengundian hari ini berjalan dengan baik, teratur dan lancar.

“Saya sempat turun ke beberapa pusat mengundi dan melihat sendiri kesungguhan rakyat daripada warga emas, anak muda hingga keluarga muda semuanya keluar menunaikan tanggungjawab,” katanya lagi.

Menurut Dr Hakim, kehadiran pengundi itu membuktikan masyarakat semakin sedar bahawa setiap undi mempunyai nilai besar dalam menentukan hala tuju dan masa depan kawasan mereka.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pengundi yang masih belum hadir supaya tidak melepaskan peluang mengundi sehingga saat akhir.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button