PRN Negeri Sembilan: Ada momentum positif, PH yakin sokongan rakyat meningkat – Aminuddin
SEREMBAN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun melihat wujud momentum positif terhadap gabungan itu menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau berkata, sambutan yang diterima sepanjang program Jelajah Kekal Harapan pada Selasa memberi keyakinan kepada PH untuk terus memperhebatkan gerak kerja kempen.
“Alhamdulillah, apa yang kita nampak ada satu momentum yang baik. Bermula di Sikamat tadi dengan jamuan kepada masyarakat Cina dan India.
“Malam ini bersama masyarakat Melayu dalam ceramah umum dan kehadiran yang amat memberangsangkan memberikan satu sinar harapan kepada kami untuk bekerja dengan lebih kuat lagi,” katanya kepada Malaysia Tribune selepas Ceramah Perdana Kekal Harapan di DUN Paroi.
Mengulas isu-isu berkaitan Melayu yang dimainkan pihak lawan sepanjang kempen, Aminuddin berkata, naratif berkenaan bukan perkara baharu dan pernah digunakan dalam pilihan raya sebelum ini.
“Ini isu yang saya rasa sudah lapuk. Ia dimainkan sebelum ini di Johor dan kini diulang tayang dalam PRN Negeri Sembilan.
“Saya yakin masyarakat boleh menilai sendiri isu-isu yang dijangka akan terus dimainkan sepanjang kempen ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegur tindakan beberapa calon yang masih memegang jawatan dalam kerajaan namun pada masa sama mengkritik Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, tindakan sedemikian menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral.
“Kita sedia maklum mereka memusingkan fakta. Apabila saya tegur perkara ini, ada yang mendakwa saya menegur pemimpin lain, sedangkan apa yang saya maksudkan ialah individu yang memegang jawatan sama ada sebagai ahli majlis, menteri atau penjawat dalam Kerajaan Persekutuan tetapi menghentam kerajaan sendiri.
“Ini satu perkara yang tidak bermoral dan harus dihentikan segera. Teguran telah dibuat dan saya harap ia menjadi peringatan bahawa setiap apa yang kita katakan perlu disertai rasa tanggungjawab,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















