Manifesto PH: Negeri Sembilan disasar jadi pusat pertumbuhan ekonomi baharu
SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) menyasarkan Negeri Sembilan menjadi pusat pertumbuhan ekonomi baharu yang menghubungkan sektor teknologi, logistik, industri dan pembangunan modal insan menerusi manifesto Kekal Harapan Negeri Sembilan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengarah Bilik Gerakan Utama (BGU) Harapan, Datuk Dr Fuziah Salleh dan Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, sasaran itu akan disokong oleh pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0), pembangunan NS Semiconductor Valley serta Nilai Advanced Photonic AI Manufacturing City.
Menurut mereka, Menteri Besar merangkap Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mahu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi agar golongan muda tidak lagi perlu berhijrah ke negeri lain untuk mendapatkan pekerjaan.
“Manifesto yang dilancarkan Aminuddin malam tadi menggariskan 10 komitmen utama sebagai tawaran PH kepada rakyat Negeri Sembilan dalam PRN.
“Antara fokus utama manifesto itu ialah memastikan kerajaan yang stabil, bersih dan mesra rakyat, memperkasakan Skim Sejahtera Rakyat, membina ekonomi yang lebih berdaya saing serta mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, manifesto tersebut turut menekankan usaha memastikan akses pendidikan berkualiti untuk semua rakyat selain memuatkan rekod pencapaian pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Aminuddin sejak tahun 2018.
Dalam pada itu, Bilik Gerakan Utama PH memaklumkan pihaknya masih menerima laporan berkaitan perbuatan khianat terhadap bahan kempen di beberapa kawasan termasuk Labu, Sungai Lui dan Palong.
Mereka berharap pihak berkuasa dapat meningkatkan pemantauan serta menyeru semua penyokong supaya tidak terlibat dalam sebarang provokasi sepanjang tempoh berkempen.
Sementara itu PH turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga seorang petugas pilihan raya yang maut dipercayai dilanggar ketika memasang bendera parti baru-baru ini, sambil mengingatkan semua petugas agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan tugas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















