KEMENTERIAN KOMUNIKASI

IRC 2026: Reka bentuk platform digital perlu utamakan keselamatan kanak-kanak – UNICEF Malaysia

KUALA LUMPUR – Keselamatan dalam talian tidak boleh hanya bergantung kepada keupayaan pengguna mengurus risiko digital, sebaliknya perlu diterapkan terus dalam reka bentuk sistem dan platform, kata UNICEF Malaysia.

Ketua Perlindungan Kanak-Kanak UNICEF Malaysia, Saskia Blume berkata, pendekatan safety by design perlu bergerak seiring dengan peningkatan literasi digital bagi memastikan kanak-kanak, golongan muda dan orang dewasa dapat menavigasi ruang dalam talian dengan lebih selamat.

Menurutnya, konsep keselamatan digital boleh dibandingkan dengan keselamatan jalan raya yang bukan sahaja mengajar kanak-kanak cara melintas jalan dengan betul, tetapi turut memastikan kenderaan direka dengan ciri keselamatan seperti tali pinggang keledar.

“Dalam keselamatan dalam talian, ia adalah perkara yang sama. Kita bukan sahaja melengkapkan mereka dengan pengetahuan, tetapi kita mereka bentuk sistem supaya menjadi lebih selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai sesi panel bertajuk “Online Safety by Design: Platform Accountability and Child Protection in an Age of User Vulnerability” IRC 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini hari ini.

Baca juga : IRC 2026: Malaysia mahu bentuk piawaian digital global lebih selamat

Saskia berkata, pemikiran terhadap keselamatan digital kini berubah apabila perbincangan tidak lagi hanya memberi tumpuan kepada tingkah laku pengguna, sebaliknya turut menekankan tanggungjawab penyedia platform.

Katanya, keadaan semasa tidak lagi memadai apabila semakin banyak negara di seluruh dunia mula memperkenalkan pendekatan berbeza dalam menetapkan tanggungjawab platform.

Menurut beliau, daripada perspektif UNICEF, terdapat beberapa bidang utama yang perlu diberi perhatian dalam memastikan keselamatan kanak-kanak dalam talian.

Katanya, perkara pertama ialah menentukan maksud sebenar pendekatan keselamatan sejak peringkat reka bentuk dalam pelaksanaan kawal selia, termasuk melalui penilaian impak hak kanak-kanak (child rights impact assessment).

“Penilaian ini telah diiktiraf dalam beberapa bidang kuasa termasuk Australia dan United Kingdom kerana ia melihat keseluruhan hak kanak-kanak, bukan sekadar hak untuk dilindungi daripada bahaya, tetapi juga hak kepada kebebasan bersuara, pendidikan dan kesejahteraan,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi mewujudkan penanda aras bersama kerana pelaksanaan keperluan keselamatan tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada platform.

Saskia berkata, aspek lain yang perlu diberi perhatian ialah perubahan terhadap reka bentuk sistem termasuk algoritma, perlindungan privasi serta kawalan terhadap pihak yang boleh berinteraksi dengan kanak-kanak di platform digital.

Menurutnya, isu keselamatan kanak-kanak tidak hanya tertumpu kepada media sosial, malah turut melibatkan permainan dalam talian dan aplikasi pemesejan.

Beliau berkata, kewajipan ketelusan juga menjadi elemen penting bagi memastikan pihak berkepentingan memahami bagaimana platform menilai risiko serta mengambil tindakan berkaitan keselamatan pengguna.

Dalam masa sama, Saskia turut menyentuh isu pengesahan umur (age assurance) yang menjadi antara cabaran utama dalam melindungi kanak-kanak di ruang digital.

Katanya, setiap pendekatan pengesahan umur perlu dinilai berdasarkan tiga aspek utama iaitu kesahan di sisi undang-undang, keperluan dan kesesuaian dengan risiko yang ingin ditangani.

“Di Australia, terdapat pelbagai langkah untuk menganggarkan umur pengguna, daripada pengesahan umur hingga verifikasi umur dan setiap pendekatan mempunyai tanggungjawab privasi yang berbeza.

“Ada perbincangan mengenai penggunaan pengenalan diri kerajaan bagi pengesahan umur, namun persoalannya ialah sama ada langkah itu berkadar, terutama apabila dikaitkan dengan risiko kebocoran data besar,” katanya.

Beliau berkata, mekanisme terbaik ialah pendekatan yang mampu mengesahkan kelayakan umur pengguna tanpa menyebabkan platform menyimpan terlalu banyak maklumat peribadi pengguna.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button