Keluarga Khairil Izani nafi buka tabung awam, mohon orang ramai tidak ambil kesempatan
KUALA SELANGOR – Keluarga kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang lemas selepas dihanyutkan arus deras dalam longkang di Fasa 3, Puncak Alam, di sini kelmarin menafikan mereka membuka sebarang tabung awam bagi mengutip sumbangan berkaitan insiden itu.
Perkara itu dikongsi di platform Threads oleh ibu saudara mangsa yang menggunakan akaun @nurnazrinn.
“Keluarga kami tak ada buka mana-mana sumbangan untuk kes ini. Tolong jangan ada pihak ambil kesempatan dalam kesulitan orang lain.
“Kalau ada sumbangan pun hanya atas nama ibu, Rosima Zakaria dan ayah, Khaizalulilnudin Noordin sahaja,” tulisnya.
Dalam pada itu, wanita berkenaan turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang prihatin dengan nasib anak buahnya.
“Terima kasih semua, anak buah saya dah jumpa,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan jasad dipercayai kanak-kanak itu ditemukan terapung di dalam sungai di Sungai Buloh oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saujana Utama yang melakukan pencarian di lokasi terbabit.
Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, mangsa yang dilaporkan hilang pada hari Selasa ditemukan pada pukul 1 tengah hari.
Dalam kejadian kelmarin, mangsa dikatakan lemas dipercayai dihanyutkan arus deras di sebuah longkang.
Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 3 petang ketika mangsa sedang bermain bola di padang Fasa 3 Puncak Alam bersama dua rakannya yang masing-masing berusia 11 dan 12 tahun dalam keadaan hujan lebat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















