Kesaksamaan gender pemangkin produktiviti, inovasi – Anfaal
BANGI – Kesaksamaan gender perlu dilihat sebagai pemangkin kepada produktiviti, inovasi dan pertumbuhan ekonomi inklusif, khususnya ketika negara berdepan ketidaktentuan ekonomi, perubahan demografi serta perkembangan pesat teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, apabila wanita diberikan ruang yang saksama untuk memimpin dan terlibat dalam proses membuat keputusan, impaknya bukan hanya kepada golongan itu, malah turut memperkukuh institusi keluarga dan memperluas bakat dalam organisasi.
“Kesaksamaan gender bukan sekadar persoalan keadilan sosial, ia adalah pemangkin kepada produktiviti dan inovasi,” katanya ketika berucap pada Gender Outlook Forum 2026 di Pusat Siswazah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Forum anjuran Wanita Berdaya Selangor (WBS) dengan kerjasama Pusat Kepimpinan Tun Fatimah Hashim (PKTFH), UKM, Westminster Foundation for Democracy (WFD) dan Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), Universiti Sains Malaysia (USM) itu membawa tema ‘Reimagining the Future: Gender Equality as a Catalyst for Growth’.
Turut hadir isteri Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut Anfaal, forum berkenaan merupakan kesinambungan penganjuran sulung pada tahun lalu dan menjadi medan untuk membincangkan kesaksamaan gender daripada perspektif yang lebih strategik.
Beliau berkata, Gender Outlook Forum 2026 turut menjadi kemuncak kepada lima siri Round Table Discussion (RTD) yang dilaksanakan sepanjang tahun, meliputi perlindungan undang-undang keluarga Islam bagi hak wanita dan kanak-kanak rentan, pengukuhan daya tahan perniagaan wanita ke pasaran bernilai tinggi serta penyesuaian kemahiran digital dan AI.
“Pada masa sama, kita mengangkat ekonomi penjagaan sebagai pelaburan strategik negara menjelang era negara menua 2030, di samping menangani isu keganasan dalam politik (VAWP) dengan sokongan padu rakan male allies,” katanya.
Anfaal berkata, kelima-lima fokus berkenaan saling berkait dan memerlukan pendekatan yang bukan sekadar memberi tumpuan kepada usaha memperkasa wanita, sebaliknya turut menilai bagaimana sistem dapat direka bentuk semula supaya lebih adil dan responsif terhadap realiti kehidupan wanita.
Di Selangor, katanya, pendekatan itu diterjemahkan menerusi dasar dan tindakan termasuk usaha WBS dalam penyelidikan dasar, pembangunan kapasiti, Gender Mainstreaming serta Gender Responsive Budgeting dalam tadbir urus negeri.
Beliau turut menyeru kerajaan, sektor swasta, ahli akademik, masyarakat sivil dan rakan male allies untuk bersama-sama memperkukuh dasar, membuka lebih banyak ruang kepimpinan, menyediakan data berasaskan bukti serta menggunakan pengaruh masing-masing bagi merealisasikan kesaksamaan gender.
“Jadikanlah Gender Outlook Forum 2026 ini sebagai medan di mana bukti bertemu pengalaman, dan perbincangan menterjemah tindakan yang boleh diukur,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







