BERITA SEMASA

Penghuni Blok D Pangsapuri Damai Perdana belum dibenar pulang

KUALA LUMPUR – Penghuni Blok D, Pangsapuri Damai Perdana, Cheras, di sini, masih belum dibenarkan pulang sehingga penilaian keselamatan struktur bangunan susulan runtuhan cerun berhampiran kediaman itu selesai.

Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Zon 6, Tan Kah Hoe berkata, Unit Forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan penilaian terhadap struktur bangunan itu semalam, dengan pihak berkuasa tempatan kini menunggu laporan berkenaan.

“Setakat ini tidak ada keputusan lagi mengenai punca kejadian.

“Kita sedang menunggu laporan penilaian untuk menentukan sama ada bangunan itu selamat diduduki atau tidak,” katanya seperti dilaporkan Buletin TV3.

Menurutnya, seramai 15 keluarga kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Desa Baiduri, meningkat daripada empat keluarga sebelum ini.

Katanya, semua keluarga terbabit adalah penduduk tempatan yang tinggal di blok berkenaan dan proses pendaftaran sedang dilakukan bagi mengenal pasti keperluan mereka.

“Buat masa ini, urusan penginapan dan makanan penduduk yang terjejas dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kawalan keselamatan di rumah yang terjejas pula dibantu pihak polis bagi memastikan keselamatan kawasan itu terjamin,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 80 penghuni daripada 45 unit kediaman di Blok D diarahkan mengosongkan rumah sebagai langkah keselamatan selepas runtuhan cerun berhampiran bangunan itu pada malam Selasa lalu.

Runtuhan membabitkan tebing setinggi kira-kira 4.57 meter, manakala pemeriksaan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati masih berlaku aliran air di kawasan berkenaan.

Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu, manakala dakwaan kebocoran paip yang mempunyai kaitan dengan runtuhan berkenaan masih disiasat Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

Penilaian keselamatan bangunan turut dilaksanakan bersama agensi teknikal berkaitan bagi menentukan tahap keselamatan kediaman berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button