BERITA SEMASA

Kerja anjal penjawat awam langkah tepat hadapi krisis tenaga – Anfaal Saari

SHAH ALAM – Pertimbangan pelaksanaan aturan kerja anjal dalam kalangan penjawat awam disifatkan sebagai langkah tepat dan wajar dijadikan dasar jangka panjang, khususnya dalam mendepani ancaman krisis tenaga global susulan konflik di Timur Tengah.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, beliau menyambut baik dan menyokong inisiatif Kerajaan MADANI untuk mempertimbangkan pelaksanaan aturan kerja anjal termasuk bekerja dari rumah secara berperingkat dan terpilih.

Menurut beliau, pendekatan itu bukan sahaja mampu membantu mengurangkan penggunaan petroleum dalam kalangan rakyat, malah berpotensi mengurangkan beban subsidi kerajaan yang semakin meningkat akibat kenaikan harga minyak global.

“Namun demikian, saya ingin menyeru agar Kerajaan MADANI mempertimbangkan pelaksanaan sistem ini sebagai satu dasar jangka panjang bagi penjawat awam terpilih dan bukan sekadar langkah sementara ketika berdepan krisis tenaga,” katanya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kerajaan sedang mempertimbangkan langkah tambahan termasuk menetapkan peraturan kerja yang lebih anjal seperti pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) secara berperingkat bagi penjawat awam.

Pengumuman itu dibuat ketika beliau menyampaikan Perutusan Khas berhubung langkah strategik negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

Mengulas lanjut, Anfaal berkata, aturan kerja anjal memberi manfaat besar khususnya kepada golongan penjaga yang perlu memikul tanggungjawab penjagaan di samping menjana pendapatan untuk keluarga.

Katanya, pendekatan itu dapat membantu mewujudkan peluang yang lebih adil dan saksama kepada golongan berkenaan untuk terus kekal dan maju dalam kerjaya, sekali gus memperkukuh daya tahan ekonomi keluarga dalam menghadapi ketidaktentuan masa hadapan.

Tambahnya, atas rasional tersebut, aturan kerja anjal turut digariskan sebagai salah satu langkah di bawah Matlamat 3 Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024–2026 bagi merapatkan jurang gender di semua peringkat dan aspek pasaran buruh.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru pihak swasta agar melaksanakan aturan kerja anjal secara lebih meluas bagi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih inklusif dan mesra keluarga.

Menurutnya, data daripada TalentCorp menunjukkan produktiviti dan kualiti hidup majoriti pekerja sama ada meningkat atau kekal stabil dengan pelaksanaan aturan kerja anjal.

Katanya lagi, pendekatan tersebut selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang memperkasa pelaksanaan aturan kerja anjal termasuk melalui penyediaan Garis Panduan Pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel 2024 oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

“Dalam mendepani ketidaktentuan global, pendekatan seperti ini bukan sahaja membantu mengurangkan impak krisis semasa, tetapi juga membina asas kepada ekosistem kerja yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mesra keluarga,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button