IRC 2025: Malaysia perkukuh peranan tadbir urus digital
KUALA LUMPUR – Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2025 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melabuhkan tirai hari ini dengan tumpuan kepada inovasi dan peraturan dalam landskap digital yang pesat berkembang.
Persidangan selama dua hari yang berlangsung di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur itu menghimpunkan pemimpin industri, pembuat dasar, pakar serantau dan peserta antarabangsa antaranya dari Australia, Amerika Syarikat dan Arab Saudi.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dalam ucapan penutupnya menekankan beberapa pencapaian utama Malaysia termasuk kepentingan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 yang telah diluluskan di Parlimen tahun lalu serta Kerangka Pelesenan Media Sosial yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.

“Kerangka ini direka untuk memastikan penyedia platform mematuhi dan memainkan peranan secara beretika dan bertanggungjawab.
“Langkah ini juga memperlihatkan kesungguhan Malaysia dalam memastikan keselamatan dan integriti dalam talian.
“Kerjasama global dan usaha kolektif amat penting untuk menangani cabaran dalam landskap digital yang semakin terhubung, lebih inklusif dan mampan,” katanya.
Penganjuran IRC 2025 menjadi medan perbincangan tentang isu-isu kritikal seperti peraturan telekomunikasi, ketahanan siber serta kesan transformasi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), blockchain dan pengkomputeran kuantum.
Nie Ching berkata, perhatian perlu diberikan kepada teknologi tersebut yang berpotensi mengubah sektor-sektor penting seperti keselamatan makanan, penjagaan kesihatan, logistik dan kelestarian tenaga.
“Malaysia mengambil peluang ini untuk mempamerkan langkah-langkah proaktifnya dalam menangani ancaman siber dan membina kepercayaan dalam ekosistem digital sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin serantau dalam tadbir urus digital,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, IRC 2025 telah membuktikan bahawa kolaborasi adalah kunci kepada pembentukan masa depan digital yang inovatif, selamat dan mampan.
Katanya, dengan berakhirnya IRC 2025, ia bukan hanya menandakan satu pencapaian penting dalam menguruskan cabaran dunia digital tetapi mengukuhkan komitmen negara dalam membentuk masa depan yang lebih baik dan inklusif.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








