Tiga anggota polis maut akibat renjatan elektrik dibawa pulang ke kampung halaman
BEAUFORT – Jenazah tiga anggota polis yang maut dipercayai akibat renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa di Jalan Weston, Kampung Weston di sini akan dibawa pulang ke negeri asal masing-masing sebaik selesai proses bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, semua jenazah kini ditempatkan di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu bagi melengkapkan bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.
Beliau berkata, mangsa yang terkorban ialah Koperal Chiu Teck Siong, 40, berasal dari Sarawak, Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dari Kelantan dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26, dari Terengganu.
“Selepas semua urusan dokumentasi selesai, jenazah akan diiringi pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort sehingga ke kampung halaman masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas kejadian itu, Champin berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga anggota Balai Polis Weston berkenaan sedang menggunakan galah besi sepanjang kira-kira 29 kaki untuk mengait buah kelapa.
Menurutnya, selepas selesai mengait buah kelapa dan cuba mengalihkan galah tersebut, salah seorang mangsa dipercayai hilang imbangan sehingga galah berkenaan terkena kabel elektrik utama milik Sabah Electricity.
“Arus elektrik kemudian mengalir ke galah besi itu sebelum merentap ketiga-tiga mangsa.
“Keadaan tanah gambut yang lembap selain terdapat air bertakung di lokasi kejadian dipercayai turut menjadi faktor yang menyumbang kepada insiden berkenaan,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 5.56 petang semalam di Jalan Weston, Kampung Weston, ketiga-tiga anggota Balai Polis Weston itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat renjatan elektrik.
Mangsa yang berusia antara 26 hingga 40 tahun itu terdiri daripada seorang koperal dan dua lans koperal.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


