JENAYAH & MAHKAMAH

Ismail Sabri dirawat di IJN, mahkamah tetapkan 27 Ogos pembacaan pertuduhan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, di sini hari ini menangguhkan prosiding pembacaan pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga 27 Ogos berikutan keadaan kesihatannya yang memerlukan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin membenarkan permohonan peguam bela Ismail Sabri, Datuk Amer Hamzah Arshad supaya prosiding pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan yang dijadualkan berlangsung hari ini ditangguhkan.

Amer Hamzah memaklumkan kepada mahkamah bahawa Ismail Sabri mengalami masalah kesihatan semalam ketika hadir memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dikejarkan ke IJN untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Bera itu kini sedang menerima rawatan di IJN dan dijadualkan menjalani satu prosedur berkaitan masalah degupan jantung tidak sekata (arrhythmia) pada petang ini.

Susulan itu, Suzana menetapkan prosiding pendakwaan akan diteruskan pada 27 Ogos.

“Oleh kerana tertuduh kini berada di IJN kerana isu kesihatan, termasuk permohonan penangguhan oleh pembelaan serta pendakwaan, mahkamah membenarkan prosiding pembacaan pertuduhan termasuk pengambilan pengakuan akan dilakukan tiga minggu lagi,” katanya.

Sebelum ini, Ismail Sabri telah beberapa kali dipanggil bagi menghadiri sesi rakaman percakapan berhubung pengisytiharan harta yang dibuat beliau kepada SPRM.

Dalam perkembangan sama, SPRM sebelum ini merampas wang tunai berjumlah RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan beliau.

Rampasan itu dilakukan menerusi penggeledahan di beberapa kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’, susulan siasatan terhadap empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button