JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita warga asing maut dirempuh lori muatan gas ketika melintas jalan

KAJANG – Seorang wanita warga asing maut selepas dirempuh sebuah lori yang membawa muatan gas ketika melintas jalan berhampiran Pasaraya Lotus di Jalan Semenyih, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, mangsa berusia 41 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang sedang dalam perjalanan dari Semenyih menuju ke EcoHill untuk menghantar bekalan gas.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai melintas jalan dari arah Pasaraya Lotus sebelum pemandu lori gagal mengelak lalu melanggarnya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun, denda maksimum RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Naazron turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas, berwaspada ketika berada di jalan raya serta mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button