PRN Melaka: Adly persoal sasaran peluang pekerjaan merosot 50 peratus dalam Manifesto BN
AYER KEROH – Barisan Nasional (BN) perlu menjelaskan pencapaian manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 sebelum mengemukakan tawaran baharu, khususnya berkaitan sasaran peluang pekerjaan yang didakwa berkurangan sebanyak 50 peratus.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, manifesto BN pada 2021 menjanjikan penyediaan 50,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh lima tahun, namun tawaran terbaharu parti itu hanya menyasarkan 25,000 peluang pekerjaan bagi tempoh sama.
Menurutnya, penurunan sasaran itu menimbulkan persoalan mengenai pencapaian janji terdahulu yang sepatutnya dijelaskan kepada rakyat.
“Manifesto BN tahun 2021 antara lainnya menjanjikan peluang pekerjaan sebanyak 10,000 setahun, jadi jumlahnya 50,000 dalam tempoh lima tahun.
“BN harus mengambil tanggungjawab terhadap janji itu, walau siapa pun Ketua Menteri. Itu manifesto BN yang lalu.
“Jadi, apa yang dicapai daripada 50,000 peluang pekerjaan itu? Janji terbaharu pula dikurangkan 50 peratus kepada 25,000. Sepatutnya makin meningkat, tetapi kenapa dikurangkan?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media harian PH di Bilik Gerakan Utama, di sini hari ini.
Selain peluang pekerjaan, Adly turut membangkitkan isu penyediaan ambulans percuma yang pernah dijanjikan BN dalam manifesto PRN terdahulu.
Katanya, manifesto BN sebelum ini menjanjikan kemudahan ambulans percuma kepada setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun), namun tawaran terbaharu hanya menyediakan sebuah ambulans bagi setiap pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Janji Barisan Nasional dalam pilihan raya yang lalu adalah menyediakan ambulans percuma kepada semua Japerun selama satu tahun.
“Kali ini dikurangkan kerana janji dahulu adalah untuk semua Japerun, tetapi sekarang kepada setiap PBT, satu ambulans.
“Kita tahu keperluan ambulans adalah satu keperluan penting. Tetapi janji harus ditunaikan sebelum janji baharu boleh dikemukakan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau mempersoalkan tawaran pemberian 20 meter padu air percuma kerana inisiatif berkenaan pernah dilaksanakan kerajaan PH ketika mentadbir Melaka pada 2018.
Menurutnya, peningkatan kapasiti bekalan air pada masa hadapan, termasuk menerusi Empangan Sungai Jernih, sepatutnya membuka ruang kepada tawaran kebajikan yang lebih baik untuk rakyat.
“Ini sudah dilaksanakan oleh kerajaan PH pada 2018. Sepatutnya BN melihat semula perkara itu dan dengan adanya Empangan Sungai Jernih pada masa akan datang, jumlah air yang kita ada akan meningkat.
“Jadi, sepatutnya kita boleh memberikan nilai yang lebih besar berbanding tahun 2018.
“Kenapa kita nak buat satu janji pada tahun ini ataupun tahun hadapan sedangkan janji itu telah dilaksanakan lapan tahun lalu? Sepatutnya ada peningkatan untuk kebajikan rakyat,” katanya.
Adly turut menyentuh mengenai tawaran perumahan mampu milik dengan berkata, kerajaan PH sebelum ini telah mengemukakan cadangan pembangunan projek berkenaan kepada kerajaan Persekutuan pada 2019.
Beliau berkata, sebahagian tanah yang dicadangkan ketika itu telah mendapat kelulusan pada tahun ini, termasuk projek perumahan mampu milik di Jalan Tun Kudu, Bukit Katil.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana sebahagian daripada tanah yang kita kemukakan telah pun diluluskan pada tahun ini,” katanya.
Sehubungan itu, Adly menegaskan kerajaan negeri perlu mempunyai data lengkap mengenai pembangunan sedia ada serta pencapaian dasar terdahulu sebelum mengemukakan sebarang tawaran baharu kepada rakyat.
“Sebagai sebuah kerajaan, sepatutnya kerajaan mempunyai data yang lengkap tentang pembangunan sedia ada dan apa yang hendak dilaksanakan.
“Kerajaan mesti menunjukkan pencapaian-pencapaian sedia ada sebelum boleh menjanjikan pencapaian masa depan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














