POLITIK

PRN Melaka: Usia bukan penghalang Kapten Mat buru sokongan pengundi Gen Z

TELOK MAS – Pengalaman berkhidmat selama 16 tahun dalam pasukan komando dan hubungan dengan masyarakat setempat menjadi sandaran calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Kapten (B) Mohamad Jaafar, dalam meraih sokongan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Dikenali sebagai Kapten Mat, beliau yang muncul sebagai calon paling berusia pada PRN kali ini berkata, faktor umur bukan penentu utama penerimaan pengundi, sebaliknya sejauh mana seseorang calon dikenali masyarakat di kawasan yang ditandingi.

Katanya, meskipun golongan muda khususnya generasi Z (Gen Z) mungkin tidak mengenalinya, ibu bapa mereka sudah mengetahui latar belakang serta hubungannya dengan penduduk setempat.

“Dalam DUN Telok Mas ni sebenarnya dia tak ada isu calon tua atau calon muda. Dia tak ada isu. Isu dia kenal calon atau tak kenal calon. Mungkin Gen Z tak kenallah, tapi mak bapa mereka kenal saya,” katanya ketika ditemui pada program Santai Petang di Telok Mas, semalam.

Baca juga : Kapten Mat cadang TVET pembuatan bot, jaring nelayan di Telok Mas

gen z
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Telok Mas, Kapten (B) Mohamad Jaafar atau Kapten Mat. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Mengulas sambutan penduduk sepanjang tempoh berkempen, Mohamad berkata, beliau menerima maklum balas positif ketika mengadakan pertemuan dengan masyarakat di beberapa kawasan termasuk Pernu, Bukit Larang dan Alai.

Bagaimanapun, beliau mengakui usaha mendekati pengundi Gen Z masih menjadi antara tumpuan yang sedang difikirkannya bagi memastikan golongan itu turut didekati sepanjang kempen.

Katanya, hasil pertemuan dengan hampir 50 anak muda setakat ini mendapati kebanyakan mereka kurang mengambil tahu mengenai politik, malah ada yang tidak menyedari sudah layak menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Cuma kita sedang memikirkan macam mana kita nak tackle Gen Z. Golongan Gen Z ni golongan muda yang berpengaruh pun ada, kawan-kawan ramai, terutama orang Melayu tapi dari segi sudut politik, kebanyakan golongan Gen Z tak cakna politik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, pengalaman selama 16 tahun berkhidmat dalam pasukan komando turut membantunya mendekati golongan veteran tentera.

Beliau berkata, ramai veteran yang ditemuinya memberikan ucapan tahniah, selain menyatakan hasrat untuk membantu kebajikan golongan berkenaan termasuk dalam aspek perumahan dan kewangan.

“Hari-hari sekarang sampai bila dia tengok nama saya Kapten Mat, veteran-veteran semua jumpa saya dan say kata kalau veteran tentera, makna saya saya akan bantu,” katanya.

PRN Melaka kali ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi kerusi DUN Telok Mas membabitkan Mohamad Jaafar mewakili PH, penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Muhammad Hazwan Mustafa daripada Bersama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button