PRN Melaka: 55 projek belum bermula, BN perlu beri penjelasan – Adly
MELAKA – Barisan Nasional (BN) perlu menjelaskan status 55 projek pembangunan yang dilaporkan masih belum bermula daripada keseluruhan 241 projek diumumkan pada Jun 2025, bukannya sekadar meminta mandat baharu daripada rakyat.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, pengundi berhak mengetahui perkembangan projek berkenaan, termasuk punca kelewatan dan tindakan penyelesaian yang diambil kerajaan negeri.
Menurutnya, penjelasan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bahawa sebahagian projek terbabit diwarisi daripada pentadbiran terdahulu masih belum menjawab persoalan mengenai status terkini pelaksanaannya.
Beliau berkata, jumlah 55 projek itu mewakili hampir 23 peratus daripada keseluruhan projek yang diumumkan.
“Jika sudah dilaksanakan, bentangkan kemajuannya. Jika masih tertangguh, jelaskan punca dan tindakan penyelesaian,” katanya dalam kenyataan media Jabatan Pilihan Raya PH Melaka di sini hari ini.
Adly berkata, alasan calon BN Machap Jaya menolak debat kerana mahu terus bekerja sebagai tidak meyakinkan.
“Menjawab soalan dan mempertahankan pencapaian juga sebahagian daripada tanggungjawab seseorang wakil rakyat, selain melaksanakan tugas kepada masyarakat,” katanya lagi.
Mengulas tawaran PH pada PRN Melaka, beliau berkata, Aspirasi Melaka Rumah Kita merangkumi tiga keutamaan dan 12 aspirasi, termasuk cadangan memperuntukkan 30 peratus kontrak kerja pihak berkuasa tempatan kepada golongan belia dan beliawanis.
“Inisiatif itu bertujuan membuka peluang perniagaan serta memberikan pengalaman kepada generasi muda tempatan, selain memudahkan akses modal kepada usahawan kecil dan menyediakan geran khas untuk peniaga wanita,” katanya.
PH turut bercadang menambah pusat jagaan kerajaan bagi membantu wanita berkerjaya, selain membenarkan pemilik tanah memohon pelanjutan tempoh pajakan lebih awal tanpa perlu menunggu sehingga baki pajakan kurang daripada 10 tahun.
Selain itu, tanah terbiar dicadangkan dimanfaatkan bagi kegiatan ekonomi rakyat, pertanian moden dan keterjaminan makanan.
Adly turut berkata, BN perlu tampil dengan jawapan serta tawaran yang boleh dibandingkan kerana mandat rakyat perlu diraih melalui rekod pentadbiran yang terbuka untuk dinilai dan perancangan jelas untuk dilaksanakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














