PRN Melaka: Low Chee Leong yakin 100 peratus pertahan Kota Laksamana
MELAKA – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong yakin mampu mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini berdasarkan sokongan pengundi pelbagai kaum.
Beliau berkata, keyakinan itu bersandarkan sokongan masyarakat Melayu, Cina dan India yang diterimanya sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.
Menurutnya, sokongan masyarakat Melayu khususnya di Kampung Morten menjadi antara bukti penerimaan pengundi terhadap dirinya tidak hanya tertumpu kepada satu kaum.
“Saya 100 peratus yakin akan menang kerana sokongan saya bukan daripada masyarakat Cina sahaja, malah turut mendapat sokongan rakan-rakan Melayu dan India.
“Sejak 2018, saya mendapat sokongan daripada Kampung Morten dan saya menang di kawasan itu,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.
Mengulas isu yang menjadi keutamaannya, Low berkata, aspek kebajikan dan pembangunan infrastruktur menjadi antara perkara yang perlu terus diberi perhatian sekiranya beliau diberi mandat sekali lagi.
“Kedudukan Kota Laksamana sebagai kawasan pusat bandar memerlukan perancangan pembangunan lebih menyeluruh tanpa mengira parti yang membentuk kerajaan negeri.
Beliau berkata, cadangan menjadikan Kota Laksamana sebagai ibu negeri baharu Melaka pernah dikemukakannya sebanyak dua kali dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurutnya, cadangan itu mendapat maklum balas positif daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Sementara itu, Low turut menyeru semua pengundi termasuk golongan muda berusia 18 hingga 20 tahun supaya menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia pada hari pengundian, 14 November ini.
“Mengundi itu adalah satu tanggungjawab sebagai seorang warga negara,” katanya.
Beliau turut memohon sokongan pengundi untuk memilihnya sebagai wakil rakyat Kota Laksamana selain memberikan mandat kepada semua calon PH yang bertanding di seluruh negeri Melaka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














