BERITA SEMASASUKAN

Alami serangan jantung selepas bertembung penjaga gol, penyerang Tenerife meninggal dunia

LONDON – Kelab bola sepak divisyen dua Sepanyol, CD Tenerife mengesahkan pemain penyerangnya, Jesús de Miguel, meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam pelanggaran dengan penjaga gol pasukan Andorra, semalam.

Laporan the Guardian yang memetik kenyataan kelab tersebut sebagai berkata, de Miguel meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di hospital.

“Daripada pihak CD Tenerife, kami mengumumkan pemergian tragis Jesús de Miguel Alameda, hari ini.

“Tiada kata-kata yang mampu meredakan keperitan ini, tiada apa yang dapat mengurangkan rasa kesedihan yang amat mendalam ini. Ingatan dan doa kami bersama ahli keluarga, sahabat rapatnya, serta para peminat Tenerife yang hari ini berduka atas perkhabaran memilukan ini,” kata kelab berkenaan dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perlawanan tersebut, de Miguel mengalami serangan jantung apabila bahagian dadanya terkena rempuhan penjaga gol Andorra, Jesús Owono pada minit-minit akhir perlawanan di Estadio Heliodoro Rodríguez López, Isnin lalu.

Pemain berusia 30 tahun itu kemudiannya dihantar ke hospital dan perlawanan tersebut dihentikan serta-merta.

Beberapa jam sebelum pemergiannya, pihak Tenerife memuat naik hantaran yang menyatakan bahawa “keadaan kesihatan beliau semakin merosot dari sudut neurologi”.

Mendiang membuat penampilan sulung pada 2015 bersama Leganés B dan telah beraksi untuk lapan kelab lain di Sepanyol, termasuk Tenerife yang disertainya sejak tahun lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button