Kurikulum baharu beri tumpuan keselamatan dunia digital
PETALING JAYA – Kurikulum baharu Tingkatan Satu dan Tahun Satu tahun hadapan akan memberi tumpuan kepada usaha mendidik murid menggunakan platform digital secara selamat
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kurikulum itu, antaranya, menekankan aspek pemeliharaan etika dan “mengemukakan soalan yang lebih baik” apabila menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan bukannya sekadar bergantung kepadanya bagi mendapatkan jawapan semata-semata.
“Tahun hadapan, kurikulum baharu bagi Tingkatan Satu dan Tahun Satu akan memberi tumpuan khusus kepada bagaimana kanak-kanak menggunakan platform digital yang tersedia untuk mereka secara selamat, di samping memperkukuh usaha AI kita,” katanya pada majlis penyerahan portal SekolahKu di Sekolah Kebangsaan Damansara Utama, di sini hari ini.
Kata Fadhlina, murid Tingkatan Satu akan didedahkan dengan kemahiran digital di bawah kurikulum baharu tersebut.
“Tahun hadapan, anda akan mengikuti kurikulum Tingkatan Satu yang baharu, yang merangkumi pendedahan kepada apa yang kita panggil kemahiran digital. Namun ada peringatan yang sangat penting iaitu anda mesti memelihara etika dalam dunia digital dan ketika menggunakan platform digital.
“Panduan literasi AI kita amat penting. Anda perlu mengemukakan soalan yang lebih baik apabila menggunakan AI, bukannya sekadar mengharapkan ia memberi jawapan kepada anda,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada para guru yang akan berada di barisan hadapan dalam menjayakan pelaksanaan kurikulum baharu ini.
“Saya sebenarnya teruja. Saya sudah melihat buku teks serta pengenalannya, jadi ia akan menjadi sangat menarik tahun depan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














