BERITA SEMASA

RUU Pendidikan (Pindaan) 2025 diluluskan Dewan Rakyat, pendidikan menengah kini wajib

KUALA LUMPUR – Sejarah baharu dalam landskap pendidikan negara tercipta apabila Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 yang bertujuan mewajibkan pendidikan menengah diluluskan di Dewan Rakyat tepat pukul 8.23 malam ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kelulusan RUU itu merupakan detik penting dalam agenda reformasi pendidikan negara yang akan menjadi pemangkin kepada perubahan masa depan anak-anak Malaysia.

“Sesungguhnya pendidikan adalah hak setiap anak Malaysia. Inilah reformasi pendidikan yang bakal menjadi pemangkin perubahan demi masa depan anak-anak Malaysia yang gemilang,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial malam ini.

Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Parlimen daripada blok Kerajaan MADANI dan Pembangkang yang telah menyokong pindaan tersebut.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh jajaran Pasukan Pendidikan Manusiawi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah bekerja keras sehingga kita berjaya sampai ke tahap ini,” katanya lagi.

Namun, beliau mengingatkan bahawa perjuangan masih belum selesai dan usaha mempertingkatkan kualiti pendidikan negara perlu diteruskan demi menoktahkan kemiskinan melalui peluang pendidikan yang lebih baik serta pembangunan modal insan.

RUU tersebut dijangka akan dibentangkan di Dewan Negara selepas ini untuk kelulusan seterusnya.

“Kita bersama-sama berdoa semoga usaha ini diberkati demi anak-anak kita,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button