BERITA SEMASA

Kos bina bilik darjah meningkat, cecah RM280,000 hingga RM520,000 – KPM

KUALA LUMPUR – Kos anggaran pembinaan sebuah bilik darjah menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, iaitu sehingga sekali ganda berbanding lima tahun sebelumnya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kenaikan tersebut dikenal pasti berdasarkan dokumen As Tendered Detailed Abstract (ATDA) yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tempoh sedekad lalu.

Beliau berkata, berdasarkan ATDA dikeluarkan JKR, kos pembinaan sebuah bilik darjah antara 2016 hingga 2020 dianggarkan antara RM180,000 hingga RM250,000, manakala kos bagi tempoh 2021 hingga 2026 meningkat kepada RM280,000 hingga RM520,000.

Fadhlina menjelaskan, anggaran tersebut hanya meliputi kos blok bangunan iaitu bilik darjah, tangga, koridor dan tandas.

“Nilai anggaran di atas masih belum mengambil kira kos keseluruhan komponen pembinaan sekolah baharu yang merangkumi kerja-kerja awalan, kerja tanah dan pembangunan infrastruktur lengkap, serta pembayaran fi profesional dan caj pembangunan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kos lain seperti pembinaan blok pentadbiran, blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), bilik-bilik khas, padang, serta penyediaan perabot, peralatan, dan perkakasan mengikut piawaian pendidikan yang ditetapkan turut perlu diambil kira dalam pengiraan kos keseluruhan,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Rafizi Ramli (PH-Pandan) mengenai perincian metrik kos sebuah bilik darjah mengikut komponen kos, jenis sekolah, bandar atau luar bandar serta negeri bagi setiap tahun dari 2015 hingga 2025.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, kos projek boleh meningkat apabila melibatkan keperluan logistik, kerja tanah, pembangunan infrastruktur luar, urusan utiliti, bayaran kepada PBT serta perolehan perabot dan kelengkapan.

“Justeru, di beberapa kawasan akan berlaku peningkatan kos berpandukan Jadual Kadar Harga 2025 yang disediakan JKR,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, tempoh pelaksanaan projek sekolah bergantung kaedah pelaksanaan dan keperluan pelaksanaan pengurusan nilai berdasarkan Pekeliling Kementerian Ekonomi Bil 1/2024.

“Bagi semasa fasa pembinaan pula, tempoh masa diambil untuk projek disiapkan adalah berdasarkan ketetapan dalam Piagam Pelanggan JKR yang dikemas kini pada Januari 2025.

“Sebagai contoh, untuk kos projek yang melebihi RM25 juta, tempoh pembinaan projek yang ditetapkan adalah 36 bulan.

“Bagaimanapun, tempoh ini bersifat dinamik, iaitu boleh berubah berdasarkan kekangan sedia ada di tapak bina. Seterusnya, apabila projek siap, sekolah akan mula beroperasi setelah perabot dan peralatan disediakan serta urusan pentadbiran diselesaikan,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button