BERITA SEMASA

6,000 murid dijangkiti influenza, institusi pendidikan KPM diarah patuhi garis panduan

PUTRAJAYA – Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) diarahkan untuk mematuhi sepenuhnya garis panduan pengurusan penyakit berjangkit susulan peningkatan kes influenza yang kini menjangkiti kira-kira 6,000 murid di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, langkah itu penting bagi memastikan penularan wabak berkenaan dapat dikawal, terutama menjelang peperiksaan SPM yang akan bermula pada 3 November ini.

Katanya, beberapa sekolah telah diarahkan tutup sementara atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), termasuk sebuah sekolah di Johor, manakala sekolah lain di beberapa negeri turut dipantau rapi.

“Setakat hujung minggu lalu, lebih kurang 6,000 murid dilaporkan dijangkiti influenza. Namun, ia tidak tertumpu di satu kawasan sahaja, sebaliknya membabitkan sekolah-sekolah di beberapa negeri,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut beliau, garis panduan berkaitan kes penyakit berjangkit di sekolah telah lama disediakan dan semua institusi pendidikan di bawah KPM perlu mematuhinya sebagaimana yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Jelasnya, keputusan untuk menutup sekolah tertakluk kepada saranan pihak PKD dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), dengan KPM akan memberi kerjasama penuh terhadap sebarang arahan kesihatan yang dikeluarkan.

Dalam masa sama, KPM turut menyarankan pelajar memakai pelitup muka dan mengehadkan aktiviti berkumpulan bagi mengekang risiko jangkitan.

“Saya juga telah meminta semua pegawai di bawah KPM untuk bersedia menghadapi ancaman wabak ini memandangkan peperiksaan SPM semakin hampir,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button