Pembatalan pelantikan EXCO Negeri Sembilan bercanggah perlembagaan – Peguam
KUALA LUMPUR – Pembatalan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan oleh Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir didakwa bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).
Peguam, Emirul Sarifudin Nor Azmi berkata, isu utama yang perlu diperhalusi ialah tafsiran terhadap kuasa Raja dalam urusan pelantikan dan penamatan jawatan EXCO, termasuk keperluan untuk mendapatkan nasihat Menteri Besar.
Menurutnya, berdasarkan UUTKNS, fungsi pemerintahan Raja boleh dilaksanakan sama ada mengikut prerogatif dan budi bicara atau berdasarkan nasihat, namun kedudukan ‘Raja’ di Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri.

“Dalam konteks UUTKNS, takrifan ‘Raja’ tidak merujuk kepada Yang di-Pertuan Besar secara bersendirian semata-mata.
“Sebaliknya, setiap keputusan yang dibuat oleh Raja di Negeri Sembilan tertakluk kepada kaedah yang ditetapkan di bawah Perkara 28, iaitu tersyarat dengan perundingan bersama Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin selaku Pembesar Memerintah,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Mengulas pelantikan dan penamatan jawatan EXCO, Emirul Sarifudin berkata, Perkara 38(5) UUTKNS perlu dibaca bersama peruntukan lain dalam perlembagaan negeri berhubung peranan Menteri Besar.
Beliau mendakwa, selagi Menteri Besar masih mempunyai sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN), penamatan jawatan EXCO memerlukan nasihat Menteri Besar dan tidak boleh dilakukan secara bersendirian oleh Yang di-Pertuan Besar.
“Selagi tiada isu kehilangan sokongan kepercayaan majoriti terhadap Menteri Besar, maka Raja – mengikut takrifan Perkara 28 UUTKNS – wajib mengikut nasihat Menteri Besar dan tidak boleh memulakan sebarang tindakan pelucutan jawatan secara sendiri,” katanya lagi.
Terdahulu semalam, Kerajaan Negeri Sembilan mewartakan pembatalan pelantikan 10 EXCO berkenaan dengan pembatalan berkuat kuasa pada 20 September.
Warta berkenaan menyatakan tindakan itu dibuat mengikut Perkara 38(5) UUTKNS selepas kesemua EXCO didakwa melanggar ikrar taat setia yang dilafazkan pada 7 Ogos lalu.
Emirul Sarifudin turut mempertikaikan kedudukan pewartaan berkenaan dengan menyifatkannya sebagai tindakan pentadbiran yang tidak boleh mengatasi bidang kuasa pihak berkuasa yang ditetapkan oleh perlembagaan.
Menurutnya, pewartaan pada asasnya merupakan proses pentadbiran selepas sesuatu keputusan dibuat oleh pihak yang mempunyai bidang kuasa dan ia tidak dengan sendirinya menjadikan sesuatu keputusan yang tidak sah sebagai sah di sisi undang-undang.
Beliau mendakwa tindakan pembatalan pelantikan EXCO secara bersendirian oleh Yang di-Pertuan Besar, jika benar dilakukan tanpa proses perlembagaan yang sewajarnya, boleh dianggap sebagai ‘unconstitutional execution of power’ atau pelaksanaan kuasa yang bercanggah dengan perlembagaan.
Dalam pada itu, beliau turut menggunakan istilah ‘constitutional coup d’etat’ bagi menggambarkan apa yang didakwanya sebagai penggunaan mekanisme dan jentera pentadbiran untuk melangkaui peruntukan tertinggi undang-undang.
“Rampasan kuasa tidak semestinya berlaku menerusi pencerobohan fizikal atau kekuatan ketenteraan, sebaliknya ia juga boleh berlaku secara halus apabila mekanisme dan jentera pentadbiran digunakan untuk melampaui dan membelakangkan peruntukan tertinggi undang-undang,” jelasnya.
Emirul Sarifudin berkata, terdapat dua aspek yang didakwanya membabitkan pelanggaran struktur pemerintahan berperlembagaan Negeri Sembilan, iaitu kuasa eksekutif yang menurut tafsirannya berada pada Menteri Besar serta kedudukan institusi Raja yang turut melibatkan Pembesar Memerintah.
Beliau berkata, tindakan Yang di-Pertuan Besar tanpa penglibatan Pembesar Memerintah seperti yang didakwanya berlaku dalam isu itu, turut menimbulkan persoalan terhadap prinsip semak dan imbang dalam struktur perlembagaan serta adat Negeri Sembilan.
Mengenai pewartaan pula, beliau menegaskan proses itu tidak mempunyai kuasa untuk ‘menghalalkan’ sesuatu keputusan yang dibuat bertentangan dengan perlembagaan.
“Pihak yang salah guna kuasa haruslah ingat bahawa Allah sahaja Maha Agung yang kekuasaan-Nya kekal dan tidak boleh digugat.
“Sebagai manusia, ingatilah hari pembalasan, setiap tindak tanduk elok diperhalusi agar tidak berlaku kezaliman,” tegasnya.
BACA JUGA:
Pembatalan pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan diwartakan
Tuanku Muhriz batalkan pelantikan EXCO negeri berkuat kuasa serta merta
MB, EXCO tidak pernah putuskan penurunan takhta Tuanku Muhriz – Ismail
Sementara itu, Istana Negeri Sembilan sebelum ini menjelaskan pembatalan pelantikan 10 EXCO dibuat selepas kesemua mereka didapati memungkiri sumpah jawatan, termasuk ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar dan institusi diraja serta sumpah melindungi dan memelihara kedaulatan UUTKNS.
Menurut kenyataan Istana, Perkara 38(5) memperuntukkan bahawa seseorang EXCO selain Menteri Besar memegang jawatannya selama diperkenan Yang di-Pertuan Besar, manakala Menteri Besar diminta mengemukakan senarai calon baharu untuk pertimbangan dan perkenan baginda.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ikrar taat setia itu kepada Raja Negeri Sembilan yang terdiri daripada Yang Dipertuan Besar dan Pembesar Memerintah.
“Malah, jika diteliti lafaz ikrar tersebut tidak dinyatakan taat setia kepada Yang Di-Pertuan Besar tetapi ikrar untuk menyampaikan nasihat yang betul dan ini yang dilakukan oleh Menteri Besar.
“Ahli DUN pula taat setia kepada Kerajaan Negeri Sembilan dan Persekutuan, bukan kepada Yang Di-Pertuan Besar sahaja. Dalam konteks Negeri Sembilan, raja ialah Yang Di-Pertuan Besar dan Pembesar Memerintah.
“Justeru, krisis di Negeri Sembilan ini berlaku antara dua perspektif, pertama antara mantan Yang di-Pertuan Besar dengan Raja Negeri Sembilan yang disaksikan kesempurnaannya oleh EXCO.
“Kedua antara dengan sesama raja di Negeri Sembilan. Ia tidak boleh didakwa sebagai satu penderhakaan rakyat kepada institusi raja,” tegas beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








