IRC 2026: AI ubah landskap jenayah siber, perlindungan kanak-kanak jadi agenda global
PERSIDANGAN Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 yang melabuhkan tirainya Rabu lalu bukan sekadar menjadi platform membincangkan dasar dan kawal selia teknologi, malah menghantar mesej jelas kepada dunia bahawa ancaman digital yang dipacu kecerdasan buatan (AI) kini menuntut tindakan lebih pantas, tegas dan bersifat global.
Sepanjang persidangan bertemakan Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust itu, antara isu yang paling mendapat perhatian ialah peningkatan jenayah siber yang semakin sukar dikesan susulan perkembangan AI generatif, selain keperluan mendesak untuk memperkukuhkan perlindungan terhadap kanak-kanak di ruang digital.

Anggota Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Derek John Fernandez berkata, AI telah mengubah landskap ancaman siber apabila penjenayah kini mampu menghasilkan identiti palsu, video manipulasi (deepfake) dan simulasi perbualan yang hampir mustahil dibezakan daripada individu sebenar.
Menurut beliau, perkembangan teknologi itu menjadikan penguasaan maklumat sebagai senjata paling berpengaruh dalam era digital, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai bentuk penipuan dan manipulasi.
“Senjata paling berkuasa pada hari ini bukan lagi bom atau peluru, tetapi kawalan terhadap maklumat.
“Sesiapa yang menguasai maklumat mampu mempengaruhi cara manusia berfikir dan bertindak,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada persidangan tersebut.
Sebagai gambaran bagaimana AI boleh disalahgunakan, Derek merujuk kepada satu kes penipuan di Hong Kong apabila seorang pegawai kewangan diperdaya melalui mesyuarat video yang dijana sepenuhnya menggunakan AI sehingga menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit.
Beliau berkata, kes sedemikian membuktikan bahawa jenayah siber tidak lagi bergantung kepada teknik konvensional, sebaliknya semakin canggih dengan memanfaatkan teknologi bagi meniru identiti, mempengaruhi mangsa dan mencetuskan keyakinan palsu.

Dalam masa sama, perlindungan kanak-kanak muncul sebagai antara tema utama sepanjang persidangan apabila semakin banyak negara memilih untuk memperketat kawal selia terhadap platform digital dan media sosial.
Menurut Derek, jika pada 2023 hanya beberapa negara mengambil langkah sedemikian, kini sekurang-kurangnya 26 negara termasuk Malaysia, Australia, Indonesia, United Kingdom dan Jerman sedang melaksanakan atau merancang mekanisme perlindungan yang lebih menyeluruh.
“Langkah sekatan bukan penyelesaian mutlak kerana sentiasa ada ruang untuk undang-undang dielakkan.
“Namun, ia merupakan antara pendekatan terbaik yang boleh dilaksanakan ketika ini bagi mengurangkan risiko kepada kanak-kanak,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia sendiri telah memulakan langkah memperkukuhkan keselamatan dalam talian menerusi pelaksanaan Kod Keselamatan Dalam Talian serta beberapa pindaan undang-undang yang meningkatkan tanggungjawab platform digital dalam mengesahkan identiti pengguna dan membendung penyalahgunaan teknologi.
Di sebalik perbincangan mengenai dasar dan kawal selia, Derek turut berkongsi realiti yang dihadapi MCMC setiap hari.
Menurutnya, suruhanjaya itu menerima antara dua hingga tiga laporan berkaitan bahan penderaan seksual kanak-kanak setiap hari, selain kira-kira 1,700 aduan melibatkan pelbagai bentuk jenayah siber.

Statistik itu menunjukkan ancaman di alam maya bukan lagi isu yang bersifat teori atau ramalan masa depan, sebaliknya sudah menjadi cabaran harian yang memberi kesan langsung kepada keselamatan rakyat.
Beliau berkata, impak jenayah digital bukan sahaja menyebabkan trauma psikologi kepada mangsa, malah dalam sesetengah keadaan boleh membawa kepada penderaan fizikal dan kehilangan nyawa.
Apa yang pasti, IRC 2026 turut memperlihatkan kesepakatan bahawa cabaran digital tidak lagi boleh ditangani secara bersendirian oleh mana-mana negara.
Sebaliknya, kerjasama antara pengawal selia, kerajaan, industri teknologi dan masyarakat antarabangsa perlu diperkukuhkan bagi memastikan inovasi digital berkembang seiring dengan aspek keselamatan, akauntabiliti dan kepercayaan awam.

Mengakhiri ucapannya, Derek merakamkan penghargaan kepada semua pengawal selia yang terus berdepan cabaran besar dalam memastikan ruang digital kekal selamat.
Katanya, melindungi rakyat, khususnya kanak-kanak, bukan sekadar tanggungjawab institusi kawal selia, malah merupakan amanah bersama yang perlu dipikul seluruh ekosistem digital ketika dunia melangkah memasuki era baharu yang semakin dipacu oleh AI.
IRC 2026 yang berlangsung pada 21 dan 22 Julai lalu dianjurkan oleh MCMC buat kali ketiga tahun ini.
Ia dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan majlis penutup disempurnakan timbalannya, Teo Nie Ching.
Program berprestij itu disertai lebih 3,000 peserta termasuk 39 panelis atau speaker dari dalam dan luar negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















