BERITA SEMASA

TVET perlu kuasai teknologi kuantum, bersedia hadapi keperluan masa depan – Zahid

SABAK BERNAM – Penguasaan teknologi kuantum perlu menjadi antara ukuran baharu kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan generasi muda bersedia menghadapi perubahan teknologi masa depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, institusi TVET perlu bergerak melangkaui penguasaan kecerdasan buatan (AI) ketika ini dengan memberi perhatian kepada teknologi baharu yang bakal membentuk landskap industri.

Menurutnya, institusi TVET di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu membuat persediaan awal, termasuk memastikan tenaga pengajar mendapat pendedahan terhadap perkembangan teknologi berkenaan.

“Kita mesti berfikir menjangkauinya, ke hadapan. Kurikulum (TVET) mesti sentiasa diperbaharui dan kerjasama industri perlu membuka akses kepada teknologi baharu.

“Kita mesti melatih anak-anak untuk keperluan hari ini, sambil menyediakan mereka bagi peluang hari esok. Kita kena pastikan generasi muda bersedia dengan gelombang teknologi baharu. Itulah ukuran kecemerlangan yang mahu kita bina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo TVET@KKDW Sungai Besar, di sini hari ini.

Bagi merealisasikan matlamat itu, Zahid menggariskan tiga inisiatif strategik TVET di bawah kementeriannya iaitu Perjanjian Kerjaya Premium, TVET Jana Desa serta Bengkel Pintar dan Hijau.

Menurutnya, menerusi Perjanjian Kerjaya Premium, kompetensi yang diperlukan, syarat penempatan dan pakej gaji bagi program terpilih perlu dipersetujui bersama majikan sebelum pelatih diambil.

Pendekatan itu bertujuan memastikan latihan yang diberikan memenuhi keperluan industri, sekali gus meningkatkan peluang graduan mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Dalam masa sama, program TVET Jana Desa dirangka untuk menggalakkan graduan membangunkan perusahaan berasaskan kemahiran teknikal serta mewujudkan peluang pekerjaan di daerah masing-masing.

“Kita mahu graduan membina perusahaan teknikal dan membuka pekerjaan di daerah sendiri,” katanya memetik laporan Utusan Online.

Bagi inisiatif Bengkel Pintar dan Hijau pula, beliau berkata, bengkel di institusi TVET perlu berfungsi sebagai ruang kerjasama antara pelatih, tenaga pengajar dan industri untuk menghasilkan penyelesaian yang memenuhi keperluan sebenar sektor perniagaan.

Katanya, kemudahan itu juga perlu membantu usahawan desa meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos operasi melalui penggunaan teknologi dan pendekatan lebih cekap.

Terdahulu, ekspo edisi kelapan itu mengetengahkan keupayaan lapan agensi di bawah KKDW membabitkan 281 institusi yang menawarkan pelbagai program latihan TVET.

Zahid berkata, jumlah institusi yang menawarkan latihan TVET di seluruh negara, meliputi sektor awam dan swasta, turut meningkat daripada 1,398 kepada 1,996 institusi.

Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan penglibatan sektor swasta yang semakin rancak dalam memperluas akses kepada pendidikan dan latihan kemahiran.

“Kita belajar daripada pengalaman terbaik di peringkat dunia dan kita berazam untuk membina kekuatan kita sendiri, sebab itu saya sendiri sentiasa meletakkan TVET sebagai keutamaan agar anak-anak Malaysia mendapat akses kepada latihan berkualiti, menguasai teknologi baharu,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperkukuh ekosistem TVET negara turut merangkumi penubuhan Malaysia-China Institute (MCI) menerusi kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan Samsung SDI Energy Malaysia di Bagan Datuk.

Inisiatif itu merupakan antara usaha memperluas kerjasama industri dan meningkatkan pendedahan pelatih kepada keperluan teknologi serta kemahiran yang diperlukan pasaran pekerjaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button