BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Ahmad Zahid mohon DNA penuh daripada 47 pertuduhan kes Akalbudi

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini bagi mendapatkan perintah dilepas dan dibebaskan (DNA) sepenuhnya daripada 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Permohonan tersebut difailkan peguamnya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik pada 28 Januari lalu dengan menamakan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai responden, susulan keputusan pihak pendakwaan untuk tidak meneruskan sebarang tindakan lanjut (NFA) terhadap Presiden UMNO itu.

Menurut Hisyam, adalah tidak adil untuk membiarkan pertuduhan berkenaan terus tergantung memandangkan anak guamnya sebelum ini telah diberikan perintah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi pada 4 September 2023.

“Berikutan kenyataan media AGC, kami mengambil langkah memfailkan permohonan DNA dan AGC telah menerima permohonan tersebut dua hari kemudian,” katanya ketika prosiding.

Permohonan itu turut disertakan dengan sijil perakuan segera untuk membolehkan ia didengar dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pendakwaan, Datuk Badius Zaman Ahmad mengesahkan pihaknya menerima permohonan berkenaan pada Jumaat lalu, namun memohon penangguhan bagi membolehkan AGC memfailkan afidavit jawapan.

“Kami memerlukan tempoh dua minggu untuk menyediakan afidavit,” katanya yang tidak dibantah pihak pembelaan.

Hakim, Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor kemudiannya mengarahkan responden memfailkan afidavit jawapan selewat-lewatnya pada 13 Februari ini dan menetapkan pendengaran hujahan permohonan pada 24 Februari.

Ahmad Zahid tidak hadir pada prosiding berkenaan dan diwakili pasukan peguam termasuk Datuk Hamidi Mohd. Noh, Fatini Athirah Baharin, Atiqa Nazihah Azmi, Nur Khairunnisa Sabirah Abdul Manan dan Nurul Hannah Mohd. Nazri.

Terdahulu, pada 8 Januari lalu, AGC memaklumkan siasatan lanjut kes berkenaan sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button