Puteri Qisya jadi anak angkat MARA, ditawar masuk MRSM tahun depan
ALOR SETAR – Anak sulung pasangan yang terkorban dalam tragedi menyayat hati enam sekeluarga di Sungai Korok, Puteri Qisya Nur Izzat, 12, bakal menjadi anak angkat Majlis Amanah Rakyat (MARA) sehingga melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.
Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengunjungi rumah nenek Puteri Qisya di Kampung Bohor Karang, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, kerajaan komited memastikan masa depan remaja itu terus terbela dan dalam masa sama turut menawarkan tempat kepadanya di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) pada tahun hadapan.
“Saya galakkan dia belajar bersungguh-sungguh demi masa depan. MRSM bersedia menerimanya dan perkara itu turut dipersetujui oleh neneknya,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Dalam kunjungan itu, Ahmad Zahid turut menasihatkan Puteri Qisya agar terus menjadi anak yang solehah dan tidak lupa mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapa serta adik-beradiknya yang telah pergi menghadap Ilahi.
“Saya nasihatkan adik ini supaya menjadi anak yang solehah, kerana doa anak solehah kepada ibu bapa tiada hijab.
“Saya minta dia sentiasa membaca al-Fatihah dan Yasin untuk dihadiahkan kepada ibu bapa serta adik-beradiknya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, kerajaan turut memberi jaminan bahawa segala bentuk bantuan yang diperlukan oleh keluarga mangsa akan disalurkan dengan sebaik mungkin.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata pihaknya juga sedang meneliti cadangan pembinaan pagar penghadang serta pemasangan lampu jalan di sepanjang laluan berhampiran Sungai Korok yang dikenal pasti sebagai lokasi gelap dan berisiko.
“Kita difahamkan laluan ini tidak mempunyai lampu jalan dan keadaan agak gelap. Jadi, saya akan ikhtiarkan pemasangan lampu jalan bukan sahaja di kawasan ini, tetapi juga di kawasan gelap yang lain.
“Perkara ini juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan Jalan Raya,” katanya.
Terdahulu, negara digemparkan dengan tragedi awal pagi Sabtu lalu apabila enam sekeluarga maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam sungai.
Mangsa melibatkan pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak mereka berusia antara enam bulan hingga sembilan tahun.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








