BERITA SEMASA

Pembangunan ekosistem pendidikan berasaskan TVET perlu dipercepat

Capai sasaran 60,000 jurutera setahun

LANGKAWI – Negara perlu mempercepatkan ekosistem pendidikan yang menekankan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bagi mencapai sasaran kerajaan untuk melahirkan 60,000 jurutera berkemahiran tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengambilan pelajar ke dalam program kejuruteraan juga perlu ditingkatkan dan diberi penekanan yang lebih, lapor BERNAMA.

“Negara kini memerlukan 60,000 jurutera, tetapi kita hanya mampu melahirkan sekitar 6,000 jurutera setahun. Oleh itu, kita perlu mempercepat pembangunan ekosistem pembelajaran baharu bagi mencapai sasaran ini.

“Kita juga akan memberi fokus kepada lepasan sekolah berasrama penuh, selain daripada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Maahad Tahfiz swasta, untuk menggalakkan penyertaan mereka dalam bidang kejuruteraan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani lima Memorandum Persefahaman (MoA) antara Universiti Kuala Lumpur Malaysia Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) dan lima pemain industri sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’25), di sini hari ini.

Ahmad Zahid kemudian berkata, lebih ramai lepasan Maahad Tahfiz akan direkrut untuk menyambung pengajian dalam program kejuruteraan di UniKL dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), khususnya dalam bidang aeroangkasa.

Ketika ini, jelas beliau, terdapat seramai 1,962 pelajar sedang mengikuti kursus dalam bidang aeroangkasa di UniKL, termasuk 129 pelajar huffaz lepasan Maahad Tahfiz Ulul Albab.

“Saya bersyukur kerana pelajar huffaz ini bukan sahaja diterima baik oleh UniKL MIAT, malah oleh pemain industri, kerana mereka mampu memahami silibus yang diperkenalkan dan menyesuaikan diri dengan pantas dalam latihan praktikal,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai lima MoA hari ini antara UniKL MIAT dan pemain industri, Zahid berkata, kerjasama tersebut melibatkan Galaxy Aerospace, Aerostar Technologies, Global Turbine Asia, Malaysia Airports Holdings Berhad dan Pen Aviation.

Kerjasama strategik itu bukan sahaja bagi memperkukuh kurikulum dan latihan teknikal UniKL MIAT, malah memperkasakan kedudukan Malaysia sebagai hab industri aeroangkasa utama di rantau ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button